SEBERANG PERAI – Sepasang suami isteri reda menghadapi ujian getir apabila anak bongsu mereka, Nur Syifa Iffiya Mohd. Shafarid Iqbal disahkan menghidap masalah jantung kongenital sejak dilahirkan pada 26 Mei lalu.
Disebabkan itu, pasangan dari Padang Serai, Kedah iaitu Mohd. Shafarid Iqbal Shehidan, 33, dan isteri, Nur Shuhada Mohd. Yusoff, 34, merayu bantuan orang awam bagi menampung kos pembedahan anak mereka berjumlah RM120,000.
Nur Shuhada berkata, Nur Syifa Iffiya mengalami kebiruan pada seluruh badan dan kekurangan oksigen dua jam selepas dilahirkan sebelum dihantar ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) di sebuah hospital di Kedah untuk diberikan bantuan oksigen.
Menurutnya, pemeriksaan terperinci oleh doktor mendapati, bayinya menghidap transposisi arteri besar (TGA), kecacatan septum atrium (ASD) dan duktus arteriosus patensi (PDA).penaykit
“Kata doktor, keadaan itu menyebabkan bayi saya perlu bergantung ubat untuk mengekalkan tahap oksigen dan masih dirawat di NICU.
“Doktor memaklumkan dia (Nur Syifa Iffiya) perlu menjalani pembedahan dalam tempoh sebulan selepas kelahiran dan jika ditangguhkan, fungsi jantung akan terus merosot dan peluang untuk terus hidup juga semakin rendah.
“Kami amat berterima kasih atas bantuan penderma untuk memastikan anak bongsu kami dapat menjalani pembedahan segera,” katanya di sini semalam.
Nur Shuhada juga dikatakan menghidap hipertensi semasa hamil.
Sementara itu, pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya berbesar hati untuk membantu mengumpul dana tersebut selepas pasangan berkenaan tampil ke pejabatnya di Bukit Mertajam, di sini baru-baru ini.
“Bapa dan ibu Nur Syifa Iffiya yang bekerja sebagai juruteknik hanya mampu mengeluarkan kos RM7,000 daripada keseluruhan yang diperlukan.
“Pasangan itu turut mempunyai dua orang anak lelaki berusia 7 dan 4 tahun,” ujarnya.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (Nombor akaun: 3201428817) atau melalui laman web onehopecharity.org.
















