fbpx
PASUKAN polis menjalankan siasatan di sebuah rumah yang menjadi lokasi pembunuh dua beranak di Taman Rambai Mutiara, Melaka kelmarin.

Suspek pendiam, tak pernah marah ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Remaja lelaki ber­usia 17 tahun yang juga suspek bagi kes bunuh ibu dan abangnya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai kelmarin disifatkan sebagai seorang yang pendiam dan tidak pernah membuat masalah kepada ibu dan abangnya.

Jiran keluarga itu dikenali Yuliyani Md. Tuin, 34, mendakwa, setiap kali mereka terserempak di hadapan rumah, remaja itu hanya melemparkan senyuman dan tidak pernah dilihat berada dalam keadaan marah.

“Kalau terserempak bila mahu masuk rumah, dia akan senyum sahaja sebab kami memang tidak pernah berbual.

“Tidak pernah pula nampak dia marah ibu dan abangnya di luar rumah, tetapi kalau waktu malam, keluarga ini memang sering bergaduh,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, situasi keluarga itu disyaki mula berubah dan menjadi tegang selepas ayah suspek meninggal dunia pada Januari lalu.

“Sejak berjiran dengan mereka tiga tahun lalu, keluarga ini tidak pernah mendatangkan sebarang masalah kepada kami.

“Tapi selepas ayah mereka meninggal dunia pada Januari lalu, memang selalu dengar anak-beranak ini bergaduh. Tapi tidak sangka pula sampai berlaku kejadian bunuh,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan, seorang guru wani­ta dan anak lelakinya ditemui mati dipercayai akibat dibunuh, manakala seorang lagi ahli keluar­ga itu parah dalam kejadian di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa seorang guru berusia 51 tahun dan anak sulung 21 tahun ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah.

Anak bongsu keluarga itu berusia 13 tahun yang terselamat telah ditemui jiran tetangga di kawasan garaj kediaman ber­kenaan.

TANGKAP layar perkongsian oleh mangsa di Facebooknya.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang remaja yang juga merupakan anak kedua keluarga tersebut berusia 17 tahun selepas disyaki terlibat dalam jenayah tersebut.

Hasil siasatan awal, motif kejadian dipercayai akibat dendam apabila kedua-dua mangsa dikatakan sering memarahi suspek dan memaksanya belajar kerana akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysiq (SPM) tahun ini.

Dalam pada itu, mangsa yang juga guru wanita di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina itu pernah membuat hantaran di Facebook pada 11 Mei lalu dengan menyatakan harapannya agar anak-anaknya membesar menjadi insan yang taat dan berguna.

“Terima kasih Jarek (anak sulung) kerana buat video pendek untuk saya sebagai hadiah Hari Ibu tahun ini.

“Walaupun ibu tidak dapat meraikan tahun ini, ibu sangat gembira kerana ini kali pertama menerima video yang dibuat khas untuk ibu.

“Ibu harap, semua anak-anak ibu akan taat, membesar dengan sihat dan bahagia serta menjadi orang yang berguna! Sayang buat semua,” tulis wanita itu dalam
hantaran terakhirnya di media sosial.

Hantaran itu turut disertakan dengan video berdurasi satu minit 15 saat yang dihasilkan anak sulungnya, Jarek, 21, yang turut maut dalam kejadian kelmarin.

Video berkenaan memaparkan 25 keping gambar kenangan keluarga lima beranak itu sejak 16 tahun lalu, termasuk mendiang suami wanita tersebut yang meninggal dunia pada Januari lalu.

Antara yang dipaparkan termasuk gambar mangsa me­nerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang daripada Kementerian Pendidikan (KPM) pada 25 April 2019 serta daripada Pejabat Pendidikan Daerah Seremban pada 22 Jun 2009.

Dalam pada itu, remaja lelaki berkenaan telah direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh ibu dan abang kan­dungnya.

Perintah reman sehingga 19 Jun ini dikeluarkan Majistret N.Sivashangari terhadap suspek berusia 17 tahun itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN