Sekolah Dalam Hospital (SDH) adalah satu inisiatif bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengatasi keciciran murid dalam sesi persekolahan apabila menerima rawatan untuk tempoh lama atau berulang di hospital.
Program tersebut berorientasikan didik hibur dan fleksibel yang mana guru sebagai pemudahcara bagi membantu mereka mengikuti pembelajaran.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini berkata, KPM dan KKM sedang merancang untuk memperluas SDH di Hospital Orang Asli, Gombak bagi memastikan anak-anak komuniti itu tidak tercicir dalam pendidikan.
Katanya, sebanyak 91 peratus pelajar SDH yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas berjaya lulus dan layak menerima sijil, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan yang dilaksanakan.
Bagaimanapun, secara dasarnya, tiada manusia yang mencapai kejayaan di dunia tanpa kehadiran insan bergelar guru yang membentuk karakter dan keperibadian seseorang.
Pensyarah Cemerlang Gred Khas C di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ilmu Khas, Norani Abd. Rahim berkata, guru SDH menghadapi pelbagai cabaran dalam penyampaian pedagogi dan emosi, namun berjaya diatasi dengan kesabaran serta kesungguhan mendidik dengan ikhlas.
“Guru SDH perlu menjadi pemudahcara yang kreatif dan fleksibel apabila berhadapan dengan situasi murid.
“Dalam konteks pedagogi, mereka perlu mengaplikasikan pelbagai teknik mengajar bersesuaian dengan keadaan murid yang terlantar di katil wad dan tidak mampu bergerak bebas.
“Mereka juga berhadapan dengan peraturan ketat hospital yang mengehadkan penggunaan bahan bantu mengajar supaya tidak mengganggu pesakit lain,” katanya.
Selain cabaran fizikal, guru SDH juga perlu peka terhadap aspek emosi murif yang sering kali tertekan akibat bertarung dengan penyakit dihidapi sehingga kadang-kadang membawa kepada masalah kesihatan mental.
“Murid yang menerima rawatan di hospital mudah terdedah kepada masalah emosi, kurang tumpuan dan gangguan jiwa.
“Oleh itu, guru perlu mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan menyokong kesejahteraan emosi murid agar mereka dapat belajar dengan lebih efektif.
“Secara umumnya, pendidik SDH akan menerima nama-nama murid yang dibenarkan oleh doktor untuk mengikuti pembelajaran.
“Kebanyakan nama terdiri daripada pesakit yang mendapatkan rawatan dalam tempoh yang lama seperti kanser, leukemia, kemalangan serta pesakit berulang seperti menjalani rawatan dialisis dan lain-lain,” jelas beliau.
Tambah beliau, cabaran utama dihadapi pendidik SDH apabila terdapat pesakit yang meninggal dunia.
“Di sinilah kekuatan emosi guru diperlukan. Mereka perlu mempunyai tahap kesediaan yang tinggi dan kemampuan untuk menyesuaikan proses pengajaran dengan keadaan pelajar yang berubah-ubah,” katanya.
Tidak dinafikan bahawa SDH adalah satu keperluan penting dalam sistem pendidikan Malaysia untuk mengatasi masalah keciciran murid yang yang menjalani rawatan di hospital.














