Lebih 11 juta spesies flora dan fauna mendiami dunia, demikian menurut anggaran saintis-saintis. Kebanyakan spesies pula beradaptasi dengan perubahan iklim, cuaca dan alam sekitar demi mengekalkan kelestarian hidup.
Bagaimanapun, ada satu spesies yang mengubah habitat, persekitaran atau elemen di Bumi dan bukan berubah mengikutnya, tidak lain dan tidak bukan iaitu manusia.
Berbekalkan postur atau bentuk fizikal paling optimum khususnya kelebihan menggunakan tangan bersama 10 jari, manusia menggunakan kelebihan itu dengan mengembangkan ilmu pengetahuan untuk memudahkan kehidupan mereka, satu-satunya spesies yang mengubah dunia.
Evolusi peradaban dan teknologi menyaksikan kehidupan manusia semakin mudah dan jarak tidak lagi membataskan kehidupan mereka.
Bermula dari zaman prasejarah menuju ke Zaman Gangsa, Zaman Pertengahan, Renaissance dan Zaman Moden, manusia kini menerokai zaman teknologi kepintaran buatan(AI), satu-satunya era yang membayangkan ketidaktentuan dan berpotensi merevolusikan ketamadunan.
Tidak semua teknologi moden memberi manfaat sejagat. AI contohnya, memberi ‘manfaat’ dengan menggantikan tenaga dan kepintaran manusia dalam melakukan pelbagai jenis pekerjaan atau bahasa mudah, menggantikan manusia itu sendiri.
Menurut firma Golman Sach, AI diramal menggantikan lebih 300 juta pekerjaan yang selama ini dilakukan oleh manusia dengan angka tersebut meningkat kepada 50 peratus pasaran pekerjaan global menjelang tahun 2045.
Dalam erti kata lain, AI dapat memacu produktiviti tetapi mengurangkan bilangan pekerja dengan begitu pantas dalam tempoh beberapa dekad akan datang.
Syarikat-syarikat multinasional menyambut baik perkembangan tersebut demi keuntungan berganda tetapi negara-negara dunia yang mana kerajaan cuba mewujudkan seberapa banyak peluang pekerjaan kepada rakyat masing-masing, bakal terkesan.
Bukan setakat pekerjaan, bidang pendidikan juga akan terkesan kerana banyak kemahiran boleh diakses serta-merta di hujung jari pelajar.
AI menutup peluang pekerjaan untuk beratus-ratus juta orang yang sebelum ini membantu menjana ekonomi sebuah negara dan juga merupakan pembayar cukai, meningkatkan hasil sesebuah negara.
Bilangan penganggur yang begitu banyak dalam sebuah negara seperti diketahui umum, mendatangkan pelbagai masalah kepada kerajaan termasuk penjagaan kesihatan, kemiskinan, manakala jenayah dan kekacauan berpotensi meningkat.
Negara-negara di dunia rata-rata menyambut baik kemajuan AI, namun tiada kesepakatan dan pelan menyeluruh bagaimana menangani cabaran kemajuan laju melangkaui batasan, berbeza dengan era kemodenan sebelum ini.
Malah, seorang profesor dari Universiti Negeri Oklahoma, Subhash Kak memberi amaran awal bahawa kemajuan AI berpotensi menyebabkan keruntuhan populasi manusia, dengan Bumi diramal mempunyai cuma 100 juta penduduk sahaja pada 2300.














