fbpx

Jersi tiruan dijual pada perlawanan Malaysia-Vietnam dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat Kuasa KPDN memeriksa jersi disyaki tiruan yang dijual sekitar pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Selasa lalu.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 650 helai jersi disyaki tiruan yang dijual di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini pada Selasa lalu.

Pemeriksaan bersepadu itu dijalankan KPDN Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya sempena perlawanan bola sepak Kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia menentang Vietnam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Shahran Mohd. Arshad berkata, pemeriksaan ke atas lapan gerai dijalankan bersama wakil pemilik cap dagang.

“Terdapat lapan gerai yang mempamerkan baju jersi menggunakan cap dagangan berjenama terkenal untuk dijual kepada orang awam yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak.

“Pengesahan awal daripada pihak pengadu mendapati jersi berkenaan menggunakan cap dagangan palsu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengenakan tindakan sitaan membabitkan 650 helai jersi bernilai RM25,000.

Katanya, kesemua barangan yang disita dibawa ke Stor KPDN Kuala Lumpur dan kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI