MONTREAL – Perenang muda Kanada, Summer McIntosh membuktikan status bintang masa depan dunia renang apabila memecahkan dua rekod dunia dalam tempoh tiga hari, sekali gus melaungkan amaran awal menjelang Kejohanan Dunia di Singapura bulan depan.
Atlet berusia 18 tahun itu mencatat dua minit 05.70 saat (s) dalam acara 200 meter (m) rampaian individu wanita, memadam rekod dunia lama milik ratu Hungary, Katinka Hosszu yang dicipta pada Kejohanan Dunia 2015.
Lebih mengagumkan, McIntosh juga memecahkan rekod dunia 400m gaya bebas pada Sabtu lalu dan turut mencatat masa ketiga terbaik dunia dalam acara 800m gaya bebas.
“Saya sangat gembira dengan prestasi ini. Acara 200 meter memang antara kegemaran saya kerana ia perlukan kesempurnaan. Tiada ruang untuk membuat kesilapan.
“Ia seperti acara pecut untuk saya,” kata McIntosh ketika bersaing di Kejohanan Percubaan Olimpik Kanada.
Catatan baharu itu mengatasi rekod milik Katinka Hosszu sejak 2015, menjadikan McIntosh wanita pertama dalam sejarah berjaya menamatkan acara itu bawah 2.06s
“Fokus saya adalah pemulihan, tidur cukup, makan banyak dan tenangkan fikiran. Kunci utama ialah satu perlumbaan demi satu,” jelasnya.
Aksi bertenaga yang dipamerkan McIntosh berjaya meninggalkan pesaingnya, Mary-Sophie Harvey (2:08.78s) ditempat kedua dan Ashley McMillan tempat ketiga (2:12.08s). – AGENSI