PUTRAJAYA- Beberapa kawasan di bahagian utara dan pedalaman tanah air dijangka mengalami purata suhu lebih tinggi berbanding lokasi lain sepanjang Monsun Barat Daya (MBD) yang berlaku bermula Mei hingga September depan.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi MetMalaysia, Ambun Dindang berkata, kawasan pedalaman dijangka merekodkan suhu lebih tinggi berikutan lebih terdedah kepada sinar matahari yang mana mudah diserap oleh bumi.
“Ia sekali gus menjadikan kawasan panas lebih dirasai di kawasan pedalaman dan utara di Semenanjung Malaysia.
“Jika diimbas, suhu tertinggi pernah direkodkan di Chuping, Perlis pada 10 April 1998 dengan bacaan 40.1 Celsius. Itu ketika El Nino dan ia suhu tertinggi pernah direkodkan di negara kita,” katanya pada Sesi Libat Urus Bersama Media Mengenai Persiapan Kerajaan Menghadapi MBD di sini tadi.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai jangkaan suhu yang mungkin direkodkan sepanjang MDB, Ambun berkata, purata suhu panas itu dijangka mencatatkan bacaan sekitar 36 dan 37 Celsius.
“Ia terutamanya pada bulan Julai dan Ogos, maka biasanya itu ialah suhu yang paling tinggi.
“Jadi, suhu itu biasanya yang paling tinggi (ketika MBD), tetapi dalam bulan Oktober ia akan turun kembali,” jelasnya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada akan ada sebarang kawalan pergerakan ketika cuaca panas MBD, katanya, perkara itu dilihat tidak memberi masalah ketika ini.
“Bagaimanapun, dalam aspek pemantauan, kita akan keluarkan kenyataan sama ada gelombang itu berlaku atau sebaliknya kerana suhu boleh tinggi kadang-kadang.
“Jadi, kita akan memberikan maklumat dari masa ke semasa untuk mengeluarkan amaran sama ada gelombang itu tahap 1,2 atau 3,” katanya. – KOSMO! ONLINE