PETALING JAYA – AmFunds Management Berhad (AmFunds) dan AmIslamic Funds Management Sdn. Bhd. telah mengisytiharkan pengagihan pendapatan untuk 30 dana unit amanah, dana didagangkan di bursa (ETF) serta dana borong dari Januari 2025 hingga Mac 2025.
Jumlah pengagihan pendapatan bersih yang diisytiharkan adalah kira-kira RM227.4 juta, merangkumi dana konvensional dan patuh syariah dalam pelbagai kelas aset.
Ketua Pegawai Eksekutif AmFunds, Kevin Wong Weng Tuck berkata, pihaknya gembira dapat berkongsi pengagihan pendapatan yang luar biasa ini dengan para pelabur.
Menurut beliau, ini adalah bukti keberkesanan strategi pelaburan dan pengurusan portfolio kami.
“Pencapaian ini menyerlahkan komitmen jitu kami dalam memberikan nilai mampan dengan asas-asas yang teguh untuk pertumbuhan yang konsisten,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
AmFunds Management Berhad dan AmIslamic Funds Management Sdn. Bhd. adalah sebahagian daripada Pengurusan Kekayaan Bersepadu Kumpulan AmBank yang menyatukan keupayaan kekayaan Kumpulan dalam produk dan penyelesaian bagi memenuhi keperluan pelanggan perseorangan dan korporat.
Ia adalah pengurus dana berpangkalan di Malaysia yang telah memenangi pelbagai anugerah, dengan pengalaman pelaburan lebih 40 tahun menguruskan dana unit amanah, dana borong, mandat swasta, dana didagangkan di bursa dan skim persaraan swasta; merangkumi kedua-dua dana konvensional dan patuh syariah. -KOSMO! ONLINE