fbpx
Sebahagian pelancong yang mengunjungi Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu semalam.

‘Orang KL datang sini borong patung penyu, baju kaftan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Dua kompleks Pasar Besar Kedai Pa­yang di sini, yang terletak berse­belahan sesak dengan pengunjung tempatan dan luar sempena cuti panjang Hari Malaysia dan cuti sekolah semalam.

Rata-rata produk tempatan seperti kain batik, keropok lekor dan keping, songket, baju kaftan dan cendermata seperti patung penyu menjadi pilihan pengunjung pusat sehenti makanan dan kraftangan Terengganu ber­kenaan.

Seorang pengunjung, Athiyah Azizan, 35, dari Pendang, Kedah, tidak melepaskan kunjungan ke Terengganu kali ini untuk membeli kain batik di Pasar Besar Kedai Payang.

“Tidak sah datang Terengganu kalau tidak membeli produk batik. Selain kain basahan, saya turut membeli kain ela batik untuk dijahit sebagai baju kurung.

“Bukan di negeri asal saya tiada kain batik tetapi corak di Terengganu memang cantik dan unik. Harganya juga berpatutan,” katanya.

Athiyah berkata, selain kegunaan sendiri dan ahli keluarga, dia turut membeli beberapa helai kain batik sebagai ole-ole kepada rakan-rakan.

Nur Farathira Nawawi, 28, dari Sepang, Selangor, pula lebih te­ruja untuk membawa pulang baju kaftan.

“Saya beli 10 helai kaftan di Pasar Besar Kedai Payang ini untuk dijadikan pakaian harian di rumah,” katanya.

Nur Farathira juga tidak melepaskan peluang membeli patung penyu bersaiz besar sebagai simbolik percutiannya di Terengganu.

Sementara itu, Norlela Baharudin, 41 dari Bangi, Selangor berkata, dia memborong keropok keping dan lekor serta serunding sebagai buah tangan buat ke­luarga serta jiran tetangga.

“Rasa keropok Terengganu memang tiada tandingan. Saya beli sampai enam kilogram sebab hendak makan sampai puas di rumah nanti,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak semua 181 hotel dan resort berdaftar di negeri ini hampir mencapai 100 peratus sejak Jumaat lalu sehingga semalam.

Kata Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Chapter Terengganu, Suaibah Harun, kebanyakan hotel dan resort yang menjadi pilihan ramai pengunjung terletak di rangkaian pulau peranginan atau berhampiran destinasi pelancongan popular.

“Ramai gemar melancong ke Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Lang Tengah.

“Selain itu hotel dan resort berhampiran dengan Pasar Besar Kedai Payang, Taman Tamadun Islam dan Jambatan Angkat Kuala Terengganu juga menjadi pilihan utama dan sudah habis ditempah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN