GERIK – Orang ramai dinasihatkan tidak terlalu ghairah berhenti untuk merakam lokasi kemalangan bas di kilometer 53 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli kerana ia merupakan kawasan kemunculan gajah.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, jika ada keperluan sekalipun berada di tempat tersebut, pilih waktu yang sesuai iaitu tengahari antara pukul 10 pagi sehingga 4 petang.
“Waktu gajah akan mula muncul pada lewat petang sehingga awal pagi esoknya. Sila berhati-hati. Potensi untuk gajah muncul memang ada. Kalau malam dan awal pagi, jangan berenti di situ,” katanya.
Berdasarkan tinjuan, dilihat terdapat banyak najis gajah di tepi jalan menuju ke kawasan kemalangan tersebut, bahkan kejadian anak gajah yang mati dilanggar lori pada awal bulan lalu itu terletak kira-kira 20 minit ke arah Jeli dari lokasi kemalangan bas.
Perkara itu disahkan oleh seorang pemandu kenderaan berat yang berada di lokasi yang menyatakan selain gajah, harimau juga kadangkala boleh muncul.
“Apabila tiba di puncak Titiwangsa ini, kami yang kerap memandu di sini akan berhati-hati terutama pada waktu malam, malah ketika kita berhenti dan bercakap di sini pun, mungkin ada haiwan liar yang sedang memerhati,” katanya ketika ditemu bual sewaktu kenderaannya dihentikan bagi memboleh pihak berkuasa membersihkan kawasan kemalangan.
Sepanjang dua hari selepas kejadian berlaku, kenderaan yang melalui kawasan tersebut dilihat bergerak perlahan untuk melihat lokasi kejadian dan ada yang tidak melepaskan peluang merakam video atau mengambil gambar. – KOSMO! ONLINE