PETALING JAYA – DAP menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya menyemak semula keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) melibatkan kes bekas Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.
Parti itu turut menuntut penjelasan mengapa tiada sebarang pendakwaan dilakukan berhubung kes tersebut selepas 15 tahun.
Dalam kenyataan bersama, Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa Jabatan Peguam Negara perlu menyemak semula keputusan untuk mengklasifikasikan siasatan sebagai NFA walaupun terdapat perkembangan kes di Mahkamah Rayuan serta prosiding sivil di Mahkamah Tinggi.
“Peguam Negara dan tiada orang lain mempunyai budi bicara untuk mendakwa di bawah Perlembagaan Persekutuan. Beliau perlu menjelaskan mengapa budi bicara itu tidak digunakan dalam kes ini,” jelas mereka dalam kenyataan itu hari ini.
Dalam kenyataan sama, DAP menjelaskan desakan itu dibuat susulan surat bertarikh 30 Mei daripada Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar kepada peguam keluarga Beng Hock, Ramkarpal Singh yang menyatakan tiada bukti mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu atas kematian mendiang.
“Surat tersebut seolah-olah mencadangkan bahawa siasatan yang dijalankan mendapati tiada bukti mencukupi untuk menyokong pendakwaan jenayah,” kata kenyataan itu.
DAP juga menyeru supaya tindakan diambil segera bagi memastikan keadilan buat keluarga Beng Hock dan rakyat Malaysia.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya mengesahkan siasatan berhubung kematian Beng Hock pada tahun 2009 diklasifikasikan sebagai NFA.
Beliau berkata, kertas siasatan kes itu dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) selepas dilengkapkan pada 17 April lalu selaras dengan arahan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 21 November 2023.
Sebelum ini, Beng Hock meninggal dunia pada 16 Julai 2009 selepas ditemui terjatuh dari tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam ketika disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – KOSMO! ONLINE