fbpx
Keadaan rumah dan kenderaan Mohamad Nasir yang musnah dalam kejadian kebakaran paip gas Putra Heights ketika tinjauan semula di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong semalam. – ISKANDAR ISHAK

Mangsa tragedi letupan Putra Heights terus berduka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUCHONG – Sambutan Hari raya Aidil­adha hari ini suram buat mangsa tragedi letupan gas di Kampung Kuala Sungai Baru di sini berikutan keadaan mereka yang serba kekurangan.

Tragedi dahsyat yang berlaku pada hari kedua Aidilfitri, 1 April lalu menyebabkan banyak kediaman musnah menyebabkan penduduk hilang tempat tinggal.

Walaupun kejadian itu sudah dua bulan berlalu, namun keba­nyakan mangsa masih menunggu proses pembinaan semula rumah yang dijanjikan.

Ada mangsa yang nekad kembali ke kediaman mereka walaupun tanpa kemudahan asas se­perti bekalan elektrik dan keadaan rumah yang separa roboh selain ada yang menum­pang rumah saudara mara.

Seorang penduduk, Mohamad Nasir Ab. Hamid, 69, berkata, dia masih tinggal di rumah lama yang musnah secara keseluruhan dalam kejadian letupan tersebut.

Katanya, rumah yang berusia lebih 30 tahun itu kini hanya tinggal tembok dan lantai simen menyebabkan Aidiladha tahun ini diraikan secara ala kadar.

“Tiada persiapan, tiada juadah dan tiada tetamu (pada Hari Raya Aidiladha).

“Suasana Aidiladha pada tahun ini juga jauh berbeza berbanding sebelum ini kerana rumah saya sering menjadi lokasi pertemuan keluarga dan jiran tetangga.

“Kini, semua itu hanya tinggal kenangan yang menyakitkan untuk dikenang,” katanya ketika ditemui semalam.

Mohamad NASIR membaik pulih rumahnya yang musnah dalam insiden kebakaran paip gas pada 1 April lalu. Foto olhe ISKANDAR ISHAK

Seorang lagi mangsa, Ahmad Danial, 25, berkata, dia menyambut hari raya korban tahun ini secara ala kadar tidak seperti tahun-tahun sebelumnya berikutan kediamannya musnah kira-kira 40 peratus.

“Sekarang saya hanya bertawakal, raya kali ini tidak seperti sebelum ini. Ini sahaja yang ada saya terima seadanya,” katanya.

Ahmad Kamarul Meskam, 42, pula berkata, kejadian letupan tersebut memusnahkan kediaman ibunya yang sebelum ini ke­rap menjadi tempat dia dan adik-beradik yang lain berkumpul setiap kali perayaan.

“Sekarang ini masing-masing tinggal berasingan, tidak pasti lagi di mana mahu menyambut raya kali ini.

“Rumah emak musnah sepenuhnya. Kami tak tahu nak kumpul di mana (pada Aidiladha).

“Mungkin beraya di rumah masing-masing,” katanya yang tinggal lebih 20 tahun di kawasan tersebut.

Bagi meringankan beban mang­sa, satu program ibadah korban akan diadakan khas untuk penduduk esok.

Difahamkan, beberapa ekor lembu dan kambing akan dikorbankan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa yang terjejas dalam kejadian letupan dan kebakaran paip gas tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN