DALAM dunia penstriman yang dikuasai pemain lelaki, kemunculan Miss Rose, streamer wanita yang bukan sahaja mahir bermain, malah turut memikat dengan personalitinya yang ceria dan rupa paras menawan menjadi fenomena di media sosial.
Wanita berhijab itu juga tidak menyangka, hobinya satu ketika dahulu telah memperkenalkan dirinya sebagai antara nama besar dalam e-sukan, khususnya bagi permainan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile.
Miss Rose atau nama sebenarnya Roslinda Embran juga kini mengorak langkah sebagai pengurus pasukan e-sukan profesional dikenali MRE Sport yang baru-baru ini berjaya mengukir nama di pentas profesional apabila layak ke PUBG Mobile Pro League musim pertama.
Berkongsi dengan K-Remaja, Miss Rose berkata, dia mula terlibat sebagai streamer beberapa tahun lalu atas dorongan ahli keluarga.
“Saya mula jadi streamer apabila ada ahli keluarga yang cadangkan supaya saya cuba livestream main PUBG Mobile.
“Ketika itu, saya cuma main untuk suka-suka sahaja, namun selepas cuba siarkan sesi itu menerusi Facebook, saya mula rasa seronok bila ada orang tengok dan berinteraksi.
“Daripada situ, saya mula serius sebagai streamer dan terus konsisten,” katanya membuka bicara.
Kekurangan streamer wanita ketika dia pertama kali menceburi bidang itu mendorong Miss Rose untuk serius, malah dia juga mengakui melihat potensi dalam bidang tersebut.
Menurut wanita bertubuh kecil molek itu, sebaik sahaja menyedari dia berpotensi menjana pendapatan sebagai streamer, Miss Rose terus memberikan fokus sepenuhnya terhadap bidang e-sukan itu.
“Sokongan daripada keluarga dan anak-anak juga sebenarnya telah memberikan saya semangat untuk teruskan kerjaya dalam bidang ini,” katanya.
Tambah anak kelahiran Sabah itu lagi, banyak pengalaman berharga yang dikutip sepanjang bergelar streamer.

Antaranya adalah apabila dia menjadi Malaysia Ambassador for Women Facebook Gaming pada tahun 2021.
“Ketika itu, saya rasa usaha saya dihargai. Selain itu, saya juga rasa sangat bersyukur apabila komuniti peminat saya menjadi semakin besar dan mereka terus menyokong saya dari awal sampai sekarang,” katanya.
Sama seperti bidang lain, kerjaya sebagai streamer turut datang dengan cabaran tersendiri.
Akuinya, selaku wanita yang berkecimpung dalam industri e-sukan yang didominasi lelaki, ia sejujurnya sukar kerana dia sering dipandang rendah.
“Kadang-kadang ada yang pandang rendah sebab saya wanita.
“Tapi saya enggan terasa hati dan jadikan itu sebagai pembakar semangat. Saya mahu buktikan yang perempuan pun boleh berjaya dalam e-sukan, bukan setakat tengok atau jadi penonton sahaja,” ungkapnya.
Baginya, cabaran terbesar apabila bergelar streamer adalah untuk kekal konsisten dan relevan.
Bagi Miss Rose, kreativiti adalah aspek penting sebagai streamer kerana dia perlu sentiasa tahu apa yang penonton suka dan memenuhi kehendak mereka.
Bahkan, dia juga berdepan cabaran seperti mental burnout dan isu teknikal yang menuntutnya untuk belajar mengurus masa dan emosi dengan lebih baik.
Mengulas tentang tanggapan negatif yang masih wujud terhadap e-sukan, Miss Rose berkata, dia percaya bahawa sekiranya orang ramai diberi lebih pendedahan terhadap kejayaan dan peluang mencari rezeki dalam bidang ini, tanggapan tersebut tentunya akan berubah.
Mengakhiri bicara, wanita berkaca mata itu berkata dia melihat perkembangan industri e-sukan amat baik apabila ramai anak muda yang mula menceburi bidang ini secara serius.
“Namun, saya lihat masih banyak ruang yang boleh diperbaiki, terutamanya dari segi sokongan dan infrastruktur untuk streamer dan pemain baharu.
“Saya juga berharap kerajaan dan penaja boleh buka lebih banyak peluang sama ada dari segi latihan, penajaan atau pertandingan, manakala masyarakat pula perlu ubah mentaliti dan terima bahawa e-sukan ni pun satu bentuk kerjaya profesional.
“Buat anak muda yang mahu serius, nasihat saya adalah jangan cepat give up. Mulakan dengan minat, tapi kena ada disiplin dan konsisten.
“Jangan buat semata-mata sebab nak popular atau nak duit cepat.
“Bina komuniti, jaga reputasi dan jangan lupa jaga kesihatan fizikal dan mental,” katanya.
















