fbpx
Remaja Orang Asli dari suku kaum Temiar ini skor semua A dengan meraih keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Kecemerlangan Nur Syafienaz, anak Orang Asli Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Mengenang zaman kanak-kanaknya, anak sulung daripada empat beradik itu mengakui bahawa ibu bapanya sangat menitikberatkan aspek pendidikan.

Sikap tersebut agak luar biasa dalam kalangan masyarakat Orang Asli Temiar, memandangkan kebanyakan ibu bapa dari suku kaum tersebut lebih cenderung mendorong anak-anak mereka untuk bekerja.

Hal itu berpunca daripada kepercayaan bahawa persaingan dalam bidang pendidikan belum tentu menjamin masa depan, berbanding pendapatan segera yang boleh diperoleh melalui kerja-kerja kampung.

Selain itu, anak-anak muda Orang Asli juga mudah terpengaruh dengan pempengaruh yang menggalakkan pencarian wang cepat tanpa mementingkan pendidikan tinggi.

Namun, ibunya yang bekerja sebagai tukang jahit sanggup meluangkan masa untuk mendidik anak-anak demi memastikan haluan hidup keluarga mereka berbeza daripada kebiasaan masyarakat sekeliling.

“Semasa di tadika, saya memang tidak berminat untuk belajar kerana terpengaruh dengan rakan sebaya yang lebih gemar bermain di luar.

“Menyedari keadaan itu, ibu mengurung saya di dalam bilik dan mengajar saya membaca. Dalam masa sebulan, saya sudah mampu membaca dengan lancar.

“Ibu sering berpesan agar saya tidak menjadi seperti dirinya yang tidak sempat menamatkan persekolahan, supaya saya dapat menikmati masa depan yang lebih baik.

“Kata-kata ibu benar-benar menyentuh hati saya. Sejak itu, saya bertekad untuk mengubah haluan hidup demi memberikan kehidupan yang lebih baik buat keluarga dan komuniti saya,” ujarnya.

Untuk pengetahuan, Temiar merupakan salah satu daripada 18 kumpulan etnik Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan tergolong dalam kelompok Senoi.

Mereka mendiami kawasan di Perak, Pahang dan Kelantan.

Melihat kembali perjalanan akademiknya, Nur Syafienaz mengakui bahawa dia bukan pelajar yang cemerlang secara semula jadi.

Ketika menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), dia hanya memperoleh keputusan sederhana iaitu 1A, 3B, 1C dan 1D.

Ketika itu, subjek paling mencabar baginya ialah Bahasa Inggeris dan Matematik kerana kedua-duanya memerlukan pemahaman konsep serta latihan yang konsisten.

Tambahan pula, latar belakang pendidikan ibu bapa yang terhad menyebabkan tiada bimbingan akademik di rumah.

Namun, bermula dari tingkatan satu, prestasinya meningkat secara mendadak hasil fokus yang lebih baik dan pengorbanan masa bermain demi pelajaran.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan kerajaan negeri turut berbangga dengan Nur Syafienaz serta menyampaikan sumbangan atas kejayaan anak Orang Asli itu.

Nur Syafienaz juga bijak memanfaatkan sokongan guru dan rakan-rakan cemerlang untuk membantunya menguasai subjek sukar seperti Matematik.

“Untuk subjek Matematik, saya banyak belajar dengan rakan-rakan Melayu yang pandai subjek itu bagi mendapatkan kefahaman yang lebih baik.

“Saya sering membawa kalkulator dan buku Matematik ke mana-mana, dan saya akan menjawab soalan-soalan Matematik pada waktu senggang,” katanya.

Dalam usahanya menguasai Bahasa Inggeris pula, Nur Syafienaz menggunakan pendekatan yang berdikari dan kreatif.

Dia sering berlatih bercakap di hadapan cermin bagi meningkatkan kelancaran dan keyakinan diri.

Selain itu, Nur Syafienaz banyak menonton filem dan mendengar lagu berbahasa Inggeris sebagai kaedah pembelajaran santai tetapi berkesan.

Hasilnya, remaja yang merupakan ahli Majlis Perwakilan Kanak-Kanak Malaysia 2024 terpilih mewakili sekolah dalam pertandingan Public Speaking peringkat negeri pada tahun 2023 semasa di tingkatan 4.

“Cikgu pilih saya kerana sebutan Bahasa Inggeris saya agak fasih, dan saya juga menyertai pertandingan itu sebagai cabaran kepada diri sendiri.

“Demi memastikan prestasi terbaik, saya menjalani latihan intensif selama lebih seminggu untuk membina keyakinan dan memperkemaskan penyampaian,” ujarnya.

Rutin belajarnya berubah secara serius menjelang pertengahan tahun 2024 apabila dia menyedari pentingnya persediaan rapi menghadapi SPM.

Nur Syafienaz meluangkan kira-kira 5 jam 30 minit setiap hari untuk belajar secara konsisten, tidak termasuk waktu pembelajaran di sekolah.

Selain itu, Nur Syafienaz turut membuat keputusan untuk tinggal di asrama kerana jarak rumah ke sekolah yang mengambil masa kira-kira 25 minit.

“Saya tinggal di asrama kerana mahu mengikuti kelas tambahan dan kurangkan beban ibunya yang selama ini menghantar dan ambil saya setiap hari.

“Dengan menetap di asrama, saya lebih mudah mengikuti jadual pembelajaran secara teratur tanpa perlu berulang-alik setiap hari,” katanya.

Dalam merancang masa depannya pula, Nur Syafienaz menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang guru Bahasa Inggeris.

Impian tersebut lahir daripada keinginan mendalam untuk kembali berbakti kepada komuniti Orang Asli, khususnya dalam bidang pendidikan.

Usahanya ke arah cita-cita itu semakin hampir apabila dirinya kini sudah melalui sesi temu duga kemasukan ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan terletak di Besut, Terengganu.

Meletakkan gurunya yang juga berasal dari komuniti Orang Asli Temiar, Amek a/p Arifin sebagai idola, Nur Syafienaz menganggap penguasaan Bahasa Inggeris sebagai kunci kepada masa depan yang lebih baik.

“Penguasaan Bahasa Inggeris akan memudahkan anak-anak Orang Asli bersaing dalam pasaran kerja, mengikuti perkembangan teknologi dan berinteraksi dengan dunia luar.

“Ia juga memberi keyakinan diri, menjadikan mereka tidak mudah ditipu serta membuka jalan keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN