fbpx

Rundingan kedua Russia-Ukraine gagal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota delegasi Russia dan Ukraine berunding bersama wakil Turkiye di Istanbul semalam. - AFP

ISTANBUL, TURKIYE – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terbuka untuk berjumpa rakan sejawat beliau dari Russia dan Ukraine di Turkiye, kata White House selepas wakil Moscow dan Kyiv gagal mencapai persetujuan gencatan senjata dalam rundingan di Istanbul semalam.

Delegasi kedua-dua negara bagaimanapun sepakat  untuk melaksanakan satu lagi pertukaran tahanan berskala besar dalam pertemuan kedua mereka di Istanbul selepas rundingan pada  pertengahan Mei lalu. 

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mencadangkan agar Presiden Russia dan Ukraine, Vladimir Putin serta Volodymyr Zelensky dan Trump bertemu untuk pusingan ketiga rundingan sama pada akhir bulan ini, sama ada di Istanbul atau Ankara.

Putin setakat ini menolak pertemuan sedemikian tetapi Zelensky berkata, beliau bersedia sambil menggariskan bahawa isu-isu kritikal hanya boleh diselesaikan di peringkat pemimpin.

Trump yang mahu segera menamatkan perang selama  tiga tahun itu berkata, beliau terbuka kepada sidang kemuncak tiga penjuru sekiranya perkara itu berlaku.

“Namun, beliau mahu kedua-dua pemimpin itu dan kedua-dua pihak datang ke meja rundingan bersama-sama,” kata jurucakap White House, Karoline Leavitt di Washington.

Dalam mesyuarat semalam, Ukraine berkata, Moscow menolak gesaan  untuk gencatan senjata tanpa syarat, namun sebaliknya menawarkan gencatan senjata separa selama dua hingga tiga hari di beberapa kawasan di barisan hadapan.

Russia hanya bersetuju melaksanakan gencatan senjata penuh jika tentera Ukraine berundur sepenuhnya dari empat wilayah iaitu Donetsk, Lugansk, Zaporizhzhia dan Kherson, demikian menurut syarat rundingan  yang dilaporkan oleh media Russia. 

Pada masa ini Russia hanya mengawal sebahagian wilayah tersebut.

Moscow juga menuntut larangan ke atas Kyiv menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), mengehadkan tentera Ukraine dan menamatkan sokongan tentera Barat. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI