KETIKA ini Industri 4.0 menjadi sesuatu yang penting buat negara.
Industri 4.0 merujuk kepada revolusi perindustrian keempat yang mengintegrasi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, Internet of Things (IoT) dan lain-lain lagi.
Pembangunan bakat-bakat baharu dalam bidang ini perlu dihasilkan bagi membolehkan negara dapat berdaya saing di peringkat global.
Oleh yang demikian, Universiti Taylor’s memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan Kepujian yang diuar-uarkan sebagai pertama di Malaysia menawarkan laluan kepakaran dalam sistem robotik dan AI.
Program inovatif selama empat tahun ini menggabungkan kejuruteraan mekanikal, elektronik, robotik dan AI bagi mempersiap graduan untuk menerajui sektor Industri 4.0 yang berkembang pesat.
Ia memberi tumpuan kepada robotik, automasi dan AI bagi menangani cabaran-cabaran global dalam industri seperti penjagaan kesihatan, pembuatan, aeroangkasa dan automotif.
Pemangku Dekan Eksekutif Fakulti Inovasi dan Teknologi, UniversitI Taylor’s, Prof. Ts Dr. Sim Yee Wai berkata, mereka adalah yang pertama di Malaysia yang menawarkan trek pengkhususan dalam sistem robotik dan AI bagi program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik.
Menurutnya, program ini penting kerana potensinya dapat membentuk masa depan bidang kejuruteraan di Malaysia.
“Program ini direka bukan sahaja untuk memenuhi permintaan yang semakin pantas untuk jurutera sedia bekerja, tetapi juga memposisikan mereka secara strategik untuk membentuk masa depan inovasi teknologi yang memacu Industri 4.0 di peringkat global.
“Malah, program ini menyediakan graduan kami bukan sahaja untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat tetapi juga untuk menyelesaikan cabaran kompleks dalam automasi, robotik dan sistem pintar,” katanya ketika majlis pelancaran program berkenaan di Universiti Taylor’s di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, pendekatan ‘hands-on’ untuk program berkenaan akan memastikan graduan dilengkapi dengan kemahiran dunia sebenar yang diperlukan untuk memacu masa depan Malaysia dalam bidang tersebut.
Teknologi akan menjadi teras masa depan pelajar-pelajar kerana mereka akan melangkah ke dunia yang semakin dibentuk oleh pendigitalan dan ekonomi digital.
Malah, untuk pembelajaran program berkenaan, mereka turut menyediakan pengalaman pembelajaran yang praktikal, sekali gus mempersiapkan pelajar untuk menghadapi landskap teknologi yang berkembang pesat.
Diakreditasi oleh Majlis Akreditasi Kejuruteraan, program tersebut menawarkan kurikulum komprehensif yang memenuhi piawaian antarabangsa tertinggi.

Setelah menamatkan pengajian, graduan layak mendaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia dan melanjutkan kerjaya sebagai jurutera profesional.
Pengarah Program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan Kepujian, Pusat Pengajian Kejuruteraan, Universiti Taylor’s, Ir. Dr. Phang Swee King berkata, program itu bukan sekadar menguasai asas kejuruteraan, tetapi ia membentuk jurutera yang akan menentukan masa depan teknologi.
“Dengan menggabungkan pemikiran kritikal, inovasi, dan pengalaman praktikal, kami memperkasa pelajar untuk memimpin kemajuan dalam bidang robotik, automasi, dan AI.
“Graduan kami bukan sahaja bersedia menghadapi perubahan, malah mereka akan menjadi pemacu perubahan itu dan mempercepat usaha transformasi Malaysia ke arah negara yang mengutamakan digital,” ujarnya.
Merangka tentang program tersebut, Swee King berkata, bidang mekatronik ialah gabungan bersama sistem mekanikal, elektronik dan sistem komputer.
Menurutnya, ia berfungsi seperti bagaimana otak kita bersama-sama bekerja dengan anggota badan.
“Tetapi untuk mekatronik, ia adalah gabungan gear, motor dan penderia yang bekerja bersama dengan mikro pengawal dan algoritma pintar untuk menghasilkan mesin pintar.
“Secara tradisinya, mekatronik ini digunakan secara meluas dalam automasi industri seperti lengan robotik di kilang pembuatan kereta.
“Namun, hari ini aplikasi ini telah berkembang jauh dan bukan hanya digunakan di kilang-kilang sahaja,” ujarnya.
Tambahnya, hari ini kita dapat melihat bagaimana robot dapat membantu doktor dalam melakukan pembedahan khusus.
Malah, kita boleh lihat bagaimana dron dapat meneroka kawasan berbahaya serta robot menghantar makanan di restoran.
Ini menunjukkan kejuruteraan mekatronik kini lebih penting berbanding sebelum ini.
“Di peringkat global, pasaran untuk mekatronik sedang berkembang pesat.
“Pertumbuhan ini juga memerlukan peningkatan keperluan untuk tenaga mahir dalam bidang automasi, robotik dan AI.
“Ini menunjukkan pelancaran program kami adalah tepat pada masanya, secara tidak langsung menangani keperluan yang semakin meningkat untuk tenaga kerja yang berkelayakan dalam bidang ini,” jelasnya.
Untuk menyediakan pelajar untuk kerjaya yang paling menarik dalam bidang kejuruteraan, mereka menawarkan dua trek pengkhususan dalam bidang mekatronik.
Pelajar boleh memilih pengkhususan sama ada robotik atau AI apabila mengambil program mekatronik.
“Bagi yang memilih pengkhususan robotik mereka akan didedahkan dan belajar mereka bentuk serta membina mesin pintar.
“Manakala bagi yang memilih pengkhususan AI mereka boleh meneroka pembelajaran mesin, sistem komputer dan algoritma pintar untuk membina sistem pintar yang boleh menyelesaikan masalah yang kompleks,” ujarnya.
Perjalanan untuk pelajar mengambil program itu adalah selama empat tahun.
Pada tahun pertama pengajian, pelajar akan mendalami bidang reka bentuk dan analisis kejuruteraan.
Pada peringkat ini mereka akan bekerjasama dalam pasukan kecil untuk membentuk dan membina sistem automasi kecil.
Pada tahun kedua, pelajar akan belajar merancang dan melaksanakan projek kejuruteraan.
Kemudian, pada tahun ketiga mereka boleh memilih trek pengkhususan sama ada robotik ataupun AI.
Pada akhir tahun tiga, pelajar akan melengkapkan latihan industri selama 12 minggu untuk mendapatkan pengalaman dunia sebenar dan pada tahun keempat mereka perlu menyiapkan dua projek utama bersama rakan kongsi industri.
Di samping tu juga, menerusi kerjasama dengan pemimpin teknologi global seperti DJI Academy Malaysia dan Unitree Robotics, program ini menawarkan pelajar pendedahan awal kepada teknologi terkini menerusi program dalaman Sarjana Muda Kejuruteraan untuk Penggunaan Industri (EUFORIA) & Penyelidikan Jenis (R) EUFORIA.
Program-program ini membolehkan pelajar terlibat secara langsung dengan rakan industri seawal tahun kedua untuk memastikan mereka memperoleh kemahiran praktikal dan pengalaman penyelidikan yang relevan bagi melayakkan mereka menyertai pasaran kerja yang kompetitif hari ini.
Di samping peluang pembelajaran secara praktikal ini, pelajar juga akan terlibat dalam projek berkumpulan pelbagai disiplin bersama Kelab Robotik.
Mereka boleh mengaplikasikan kemahiran mereka dalam projek-projek rentas bidang yang sebenar.
Selain itu, pelajar juga berpeluang melanjutkan pengajian melalui saluran laluan pantas atau ‘Fast Track’ ke peringkat Sarjana dalam Mekatronik dan Robotik menerusi program 2 + 2 dengan
University of Birmingham di United Kingdom bagi meluaskan lagi pengalaman pendidikan global mereka.
Ketika ini, graduan mekatronik mendapat permintaan tinggi di pelbagai industri.
Mengulas tentang perkara tersebut, Swee King berkata, permintaan untuk tenaga kerja dalam bidang ini tinggi kerana mereka mempunyai kebolehan untuk menyepadukan sistem mekanikal, elektronik dan perisian pintar.
“Beberapa laluan kerjaya yang ada dalam bidang ini termasuk jurutera automasi, jurutera sistem kawalan, jurutera reka bentuk, dan ini adalah peranan yang penting kepada pembuatan moden serta Industri 4.0.
“Di luar industri tradisional, kemahiran mekatronik juga sangat dicari dalam bidang yang sedang berkembang, contohnya, dalam kejuruteraan robotik atau kejuruteraan AI.
“Graduan juga boleh meneruskan kerjaya dalam penyelidikan dan pembangunan, menjadi perundingan teknikal atau menceburi bidang keusahawanan,” jelasnya.
Tambah Swee King, secara ringkasnya, program tersebut membuka pintu kepada pelbagai kerjaya yang menarik, memberi kesan dan bukti masa depan dalam pasaran tempatan dan global.















