FAKULTI Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik (FKTEN), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dilihat terus memperkukuh peranan universiti tempatan di negara ini dalam pendidikan serantau.
Seramai enam pensyarah dan 12 mahasiswa telah menyertai jelajah kemasyarakatan dan pendidikan di Medan, Indonesia bermula 15 hingga 19 Mei lalu.
Program selama lima hari itu merangkumi lawatan rasmi akademik ke dua buah institusi pendidikan tinggi terkemuka di wilayah Sumatera Utara iaitu Universitas Harapan (UNHAR) Medan dan Universitas Al-Azhar Medan (UNAZ).
Pelbagai aktiviti kemasyarakatan bersama komuniti tempatan di sekitar Medan dijalankan dalam usaha mengukuhkan kerjasama dua hala pendidikan tinggi serta membuka ruang kolaborasi penyelidikan rentas negara.
Dekan FKTEN UniMAP yang juga bertindak sebagai ketua program, Prof. Madya Ir. Dr. Razaidi Husin berkata, program tersebut bertujuan menggabungkan elemen pendidikan, teknologi, khidmat komuniti dan pertukaran budaya.
Ia sebagai usaha menyokong agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta memupuk semangat ASEAN dalam kalangan pelajar.

“Ini sejajar dengan semangat ASEAN semasa yang mana Malaysia bertindak sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.
“Kita bukan hanya menyampaikan ilmu dan berkongsi teknologi tetapi juga membina jalinan hati dengan komuniti.
“Pada masa sama, program sedemikian bertujuan memperkukuh hubungan serantau selari dengan aspirasi ASEAN untuk mewujudkan masyarakat yang inklusif, harmoni dan berdaya saing,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pelajar mewakili Persatuan Pelajar FKTEN, Mohd. Farhan menyifatkan pengalaman ini sebagai pendedahan berharga yang mengajar mereka bukan sahaja ilmu kejuruteraan, malah nilai empati dan semangat perpaduan serantau.
“Kami belajar bagaimana menjadi jurutera yang bukan sekadar mahir teknologi semata-mata.
“Menerusi program ini, kami juga belajar nilai prihatin terhadap masyarakat dan persekitaran,” katanya.

Sesuai sasaran Sustainable Development Goal (SDG) dalam mencapai kelestarian alam, mahasiswa FKTEN dan UNAZ menggembleng tenaga dalam melaksanakan program penanaman pokok bakau di Desa Pasar Rawa.
Ketua Projek Jelajah Komuniti dan Pendidikan FKTEN, Prof. Madya Ts Dr. Muzammil Jusoh berkata, inisiatif ini bertujuan untuk membantu mengelakkan hakisan laut serta mampu memperkaya ekosistem fauna sekiranya kawasan paya dilestarikan.
Pada masa sama, ia dapat meningkatkan pendapatan komuniti setempat yang bergantung kepada hasil dari laut.
“Dengan pelaksanaan program seumpama ini, UniMAP terus membuktikan komitmennya dalam melahirkan graduan global yang berpaksikan nilai serantau.
“Ini sejajar dengan wawasan ASEAN 2025 untuk membina komuniti yang aman makmur dan berpadu,” katanya.















