fbpx
SUAMI Alia sanggup menghabiskan wang untuk mengubah suai dan membeli aksesori kereta sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. – Gambar hiasan

K2

Suami taasub kereta hingga abai tanggungjawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DISEBABKAN kereta, perkahwinan yang dibina Alia bersama suaminya musnah.

Alia mengambil keputusan untuk berpisah kerana suaminya memiliki ketaasuban terhadap kereta sehingga sanggup mengabaikan tanggungjawab pada keluarga.

“Saya dan suami telah mendirikan rumah tangga hampir tujuh tahun. Sepanjang hidup bersama, saya lebih banyak menjadi ‘provider’ kepada keluarga.

“Suami saya seperti melepaskan tanggungjawabnya kerana dia tahu saya bekerja dan memiliki pendapatan sendiri,” katanya yang berusia sekitar 30-an.

Sejak bercinta lagi, Alia mengetahui bahawa suaminya sangat meminati kereta.

Malah sebelum mereka berkahwin, suaminya telah beberapa kali menukar kereta.

Tabiat tersebut menyebabkan suaminya gagal menyimpan wang untuk mereka melangsungkan perkahwinan.

Disebabkan rasa sayang, Alia sanggup membantu dengan menyediakan separuh daripada wang hantaran perkahwinan mereka tanpa pengetahuan keluarganya.

Malah, suaminya hanya ‘cuci kaki’ kerana Alia telah memiliki rumah untuk mereka tinggal selepas berkahwin.

“Suami saya cukup beruntung kerana dia tidak perlu menyediakan tempat tinggal dan kelengkapan rumah.

“Ini kerana, saya telah sediakan semuanya sebelum kami berkahwin lagi. Gaji yang diterima suami saya cukup jika dia guna sebaiknya.

“Namun, dia banyak menghabiskan duitnya pada kereta sehingga tiada wang simpanan,” terangnya.

Cerita Alia, sebelum mereka berkahwin, suaminya pernah memiliki tiga buah kereta pada satu masa.

Bagaimanapun, suaminya terpaksa menjual salah sebuah kereta dimiliki dengan harga RM20,000 bagi menjayakan majlis perkahwinan mereka.

Selepas berkahwin, Alia berharap suaminya akan berubah dan lebih mementingkan keluarga berbanding kereta.

Namun, perkara diharapkan itu tidak berlaku, sebaliknya suaminya masih meneruskan ketaasuban kepada kereta.

“Pada awal perkahwinan, kami sama-sama berkongsi wang untuk membayar segala komitmen bulanan.

“Ada ketikanya, suami saya beri wang tidak mencukupi untuk membayar komitmen bulanan.

“Dia (suami) beri alasan ingin menggunakan wang pada bulan itu untuk membaiki kereta yang rosak,” terangnya.
Alia tahu kereta itu tidak rosak, sebaliknya suaminya menggunakan wang tersebut untuk mengubah suai atau menambah aksesori pada keretanya.

“Apabila saya marah, suami menyatakan bahawa saya tidak menyokong minatnya. Malah dia pernah kata, lebih baik main kereta daripada main perempuan lain.

“Kata-kata itu amat menyakitkan hati saya sehingga saat ini,” kata Alia.

Suaminya langsung tidak mahu berubah dan terus melepaskan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

Hal tersebut mula membuatkan Alia tawar hati, namun dia masih cuba
untuk mempertahankan perkahwinan mereka.

Selepas hampir tujuh tahun berkahwin, mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Dalam membesarkan anak-anak, wang Alia lebih banyak digunakan untuk membeli susu dan membayar yuran taska.

Suaminya ada beri wang belanja tetapi tidak mencukupi.

“Saya ada minta duit untuk belanja rumah dan suami ada beri sedikit tetapi jumlahnya tidak mencukupi.

“Jadi, saya terpaksa guna duit gaji sendiri untuk tampung perbelanjaan rumah.

“Namun, dia (suami) mempunyai duit untuk menukar rim kereta yang harganya mencecah RM5,000,” ujarnya.

Alia mengakui, hal tersebut sering membuatkan mereka bergaduh besar.

Memburukkan lagi keadaan, suaminya langsung tidak pernah membayar kembali wang yang dipinjam daripada Alia.

Sewaktu pandemik Covid-19, suaminya ada mengeluarkan duit daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibenarkan oleh kerajaan.

Wang tersebut akhirnya digunakan oleh suami untuk membeli sebuah kereta terpakai, sebelum diubah suai.

Suaminya langsung tidak mengambil peduli dengan nasihat Alia supaya menggunakan wang KWSP untuk perkara-perkara penting saja.

Lama-kelamaan, Alia mula tawar hati dengan perkahwinan mereka, sebelum dia mengambil keputusan untuk berpisah.

Dia nekad dengan keputusannya untuk berpisah, meskipun suaminya cuba memujuk dan berjanji akan berubah.

Akhirnya, mereka sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN