KUALA SELANGOR – Seorang lelaki warga emas yang maut dihempap buah kelapa sawit di Batu 7, Ijok, Bestari Jaya di sini, sempat menghantar isteri dan tiga anaknya bercuti ke Korea sebelum tragedi itu semalam.
Malah, Allahyarham Saiful Bahri Leman, 63, turut merakam gambar terakhir bersama ahli keluarganya namun kelihatan tidak tersenyum.
Adik mangsa, Mustajab, 58, berkata arwah menghantar empat beranak itu ke Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira pukul 5 pagi semalam.
Katanya, anak keempat daripada sembilan beradik itu kemudian pulang semula ke rumah dan keluar bekerja di kebun pada pagi kejadian.
“Namun, saya terkejut apabila dimaklumkan oleh rakan kira-kira pukul 4.30 petang bahawa abang dihempap buah kelapa sawit. Sejurus tiba di lokasi, saya mendapati abang yang dilihat terbaring sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu 8 Ijok di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan leher.
Siasatan polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Menurut Mustajab, dia tidak menyangka pertemuan dan perbualan dengan arwah abangnya kelmarin adalah kali terakhir antara mereka.
“Tiada perubahan ketara ditunjukkan arwah. Namun, saya dapati gambar terakhir arwah bersama isteri dan lima anaknya ketika di KLIA tidak tersenyum. Tidak sangka ia petanda arwah mahu meninggalkan kami buat selamanya,” ujarnya.
Tambah beliau, arwah yang dikenali sebagai Wak Pul disifatkan sebagai seorang yang peramah, ringan tulang dan disenangi penduduk kampung serta ahli kariah masjid.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Ijok di sini, malam tadi. – KOSMO! ONLINE