APABILA bercakap mengenai autism, kita dapati masih ada golongan ibu bapa menafikan ia terjadi kepada mereka walaupun ia benar.
Meksipun sudah hampir setengah tahun 2025 membuka tirai, namun mentaliti golongan ibu bapa yang hidup dalam penafian masih menebal.
Memetik laporan akhbar Disember lalu, jumlah kanak-kanak disahkan mengalami autisme meningkat amat ketara iaitu naik 815 peratus daripada 6,991 kes pada 2013 kepada 63,966 kes setakat September 2024.
Presiden Pertubuhan Kesedaran Autism Kuala Lumpur, Siti Fauzliana Abdul Razak berkata, pihaknya masih berdepan dengan kes-kes di mana ibu bapa sedia tahu berkenaan kondisi anaknya.
Pun begitu, mereka tidak dapat menerima kenyataan sekali gus ‘menafikan’ bahawa anak mereka adalah seperti tidak normal.
“Disebabkan itu anak-anak autisme berkenaan tidak akan atau lambat menerima sebarang bantuan mahupun usaha yang sepatutnya diterima mereka.
“Secara jujurnya, walau kita dapat lihat tahap kesedaran tentang autisme di Malaysia ni semakin meningkat, sebenarnya tahap penerimaan masih belum berada pada posisi sama,” katanya kepada Kosmo!.
Tambahnya, berdasarkan kajian dan pemerhatian, rata-rata masyarakat masih belum sedia untuk menerima kehadiran golongan kelainan upaya itu sebagai sesuatu yang biasa atau normal.
“Golongan dengan kelainan upaya dianggap menyusahkan dan membebankan orang normal lain.
“Hal ini kerana usaha membantu mereka ini untuk berfungsi dalam menjalani hidup secara normal dianggap sukar,” katanya.
Sementara itu, menyokong kenyataan Siti Fauzliana ialah Ketua Unit Perkhidmatan orang kurang upaya merangkap profesor ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Ruzita Mohd. Amin.
Menurutnya, langkah pertama ibu bapa adalah memahami dan mengenal pasti simptom autisme bermula pada peringkat awal usia kanak-kanak.
“Jika anak gagal berkomunikasi, berinteraksi dan ada masalah tingkah laku kemungkinan ada sesuatu yang tidak kena.
“Terapi dan pendidikan bersesuaian kepada anak autisme boleh membantu kanak-kanak istimewa itu membesar menjadi seorang dewasa berdikari.
“Menerusinya, mereka sekurang-kurangnya mampu melakukan aktiviti harian seperti mengurus diri, makan, minum, berkomunikasi dan tingkah laku yang terkawal,” katanya.
Tambah Ruzita, penting untuk masyarakat tahu bahawa autisme mempunyai tahap yang berbeza.
“Dari satu spektrum, tingkah laku mereka sukar difahami atau tidak dapat difahami langsung oleh orang sekeliling mereka.
“Dari satu spektrum yang lain, anak-anak ini kelihatan normal seperti yang lain, namun berkemungkinan mempunyai masalah komunikasi dan mempunyai masalah untuk bersosial.
“Disebabkan masalah memproses maklumat yang berbeza dengan kanak-kanak lain, kadangkala mereka lewat memberi respon kepada sesuatu maklumat,” katanya.
Pesannya, jika ibu bapa mengesyaki anak mereka autistik, hubungilah pakar kanak-kanak dengan segera kerana pengesanan awal dan langkah-langkah intervensi boleh memberi pencerahan tentang autisme.
Ini bukan sahaja membantu kanak-kanak tersebut, ia turut membantu ibu bapa mengasuh anak syurga mereka dengan lebih cekap dan selamat.














