fbpx

BAM heret keputusan kontroversi umpire ke BWF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEREGU lelaki remaja negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing ketika beraksi pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena, hari ini. GAMBAR: Iskandar Ishak

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah menghantar aduan rasmi kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), termasuk bukti rakaman video, berhubung keputusan kontroversi yang dibuat oleh umpire dalam perlawanan membabitkan beregu lelaki negara pada Kejohanan Malaysia Masters 2025.

Insiden tersebut berlaku ketika perebutan ke suku akhir kelmarin, melibatkan gandingan muda negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing, menentang pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, yang menyaksikan beberapa keputusan penting dalam set penentuan menjadi pertikaian.

Dalam saingan itu, Aaron-Khai Xing memberikan tentangan hebat kepada pasangan pilihan ketujuh dari Denmark itu sebelum tewas dengan keputusan 10-21, 26-24, 16-21 dalam tempoh satu jam tujuh minit.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, menegaskan bahawa tiga keputusan yang dibuat pada detik-detik kritikal jelas memberi kesan langsung terhadap keputusan akhir dan menjejaskan peluang pemain negara untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Walaupun kami terus menghormati peranan dan kepentingan pegawai teknikal, adalah menjadi keutamaan agar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjalankan semakan menyeluruh terhadap standard pengadilan.

“Prinsip keadilan dan integriti mesti ditegakkan dalam setiap perlawanan. Keputusan yang dibuat oleh pengadil, pada pandangan kami, jelas merupakan satu kesilapan dan telah menafikan peluang pemain kami untuk bersaing secara adil.

“Pengadilan sebegini bukan sahaja memberi kesan kepada keputusan perlawanan, malah turut menjejaskan kredibiliti sukan badminton itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI