fbpx

Sahabat Maktab berazam santuni tetamu Allah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. HISHAM (barisan kedua, tengah) bersama Sahabat Maktab yang dilantik di Abraj Al Tayseer di Mekah kelmarin.

MEKAH – Sepasang suami isteri berazam untuk menyantuni tetamu Allah melalui Program Sahabat Maktab sepanjang musim haji 1446H/2025M, khususnya semasa operasi Masyair.

Menurut Leftenan Kolonel Jamal Sapri yang bertugas di Kementerian Pertahanan berkata, dia bersyukur dipanggil menunaikan haji pada tahun ini dan mahu menggunakan peluang tersebut untuk membantu jemaah lain.

“Saya menjadi Sahabat Maktab 83A di bawah Abraj Al Tayseer sebagai sahabat sukarelawan. Perkara ini terdetik apabila tiba di Madinah pada 11 Mei lalu, saya terkesan melihat dua warga emas yang sakit kaki serta tersesat.

“Isteri saya meminta membantu dua jemaah lanjut usia tersebut dan saya percaya golongan itu amat memerlukan khidmat daripada sukarelawan bagi membantu mereka ziarah dan beribadah,” katanya di sini ketika ditemui di Abraj Al Tayseer, baru-baru ini.

Katanya, dia berpengalaman dalam mengurus kerja-kerja sukarelawan melibatkan pegawai dan anggota dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, isteri Jamal, Dr. Salimah Othman, 52, yang terpilih menjadi Sahabat Maktab Medik ingin memastikan kesihatan jemaah haji terutamanya warga emas, terjaga khususnya ketika kemuncak ibadat itu di Arafah.

“Sebelum berwukuf di Arafah, saya mahu setiap jemaah menyusun bekalan ubat mereka secukupnya untuk enam hari, dengan jadual yang jelas, seperti ubat pagi dan petang.

“Melalui usaha ini, saya mahu jemaah menitikberatkan kesihatan diri agar kita hadir sebagai dhuyufurrahman dan kembali dengan kemabruran,” katanya.

JAMAL dan isterinya, Dr. Salimah ketika ditemui di Abraj Al Tayseer di Mekah, kelmarin.

Seorang warga emas, Wan Asma Wan Taman, 66, dari Kuala Krai, Kelantan pula tertarik untuk menjadi Sahabat Maktab kerana percaya dengan usianya itu dia lebih memahami keperluan golongan seusia.

WAN ASMA.

Dalam pada itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, program ini memberi peluang kepada individu berkemahiran tampil secara sukarela membantu 610 petugas haji menyantuni jemaah warga emas, individu uzur serta mereka yang baru tiba untuk menunaikan umrah pertama.

“Operasi Masyair merupakan satu fasa ibadah haji yang sangat mencabar dan memerlukan kerjasama serta penglibatan ramai pihak. Ia melibatkan urusan menaiki dan menuruni bas, pengagihan jemaah ke khemah, serta bantuan fizikal kepada jemaah yang uzur seperti penggunaan kerusi roda atau iringan ke tandas.

“Justeru, peranan Sahabat Maktab amat penting, ia bukan sahaja membantu jemaah menunaikan ibadah dengan sempurna, tetapi juga meringankan tugas petugas haji dalam menyantuni para duyufurrahman,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Program Sahabat Maktab di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai 385 jemaah haji telah dilantik sebagai Sahabat Maktab, mewakili 11 maktab di tujuh Bangunan Penginapan Jemaah Haji (BPJH) di Mekah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI