ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 282 kes keganasan rumah tangga melibatkan pasangan berkahwin telah dilaporkan di negeri ini sepanjang tempoh empat bulan pertama, tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, 724 kes keganasan rumah tangga pula direkodkan sepanjang tahun lalu.
“Kira-kira 80 program telah dilaksanakan di seluruh Johor tahun lalu dengan penglibatan 8,231 peserta bagi meningkatkan kesedaran tentang keganasan rumah tangga.
“Pada tahun ini pula, kerajaan negeri turut membelanjakan RM50,000 bagi menghasilkan bahan visual berkaitan gangguan seksual dan keganasan rumah tangga yang akan dikongsi di platform media arus perdana dan media digital,” katanya ketika sesi soal jawab di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab Haslinda Salleh (BN-Tenang) berhubung statistik keganasan rumah tangga dalam tempoh dua tahun kebelakangan serta langkah yang diambil untuk menangani isu berkenaan. – KOSMO! ONLINE