MEKAH – Tekanan sebenar bakal dirasai oleh jemaah apabila memasuki kemuncak ibadat iaitu Masyair bermula di antara 8 sehingga 13 Zulhijjah dalam mengejar haji mabrur.
Sehubungan itu, Pengurus Kaunseling Unit Perkhidmatan Kaunseling, Azlina Abd. Wahid berkata, para jemaah perlu bersedia dengan fasa tersebut kerana ia merupakan medan ujian ketahanan jiwa dan kekuatan mental serta emosi.
“Apabila setiap jemaah meletakkan syukur di hadapan dengan apa jua ujian mendatang segala rasa yang tidak menyenangkan itu akan perlahan-lahan reda.
“Kedua pula, jemaah perlu sabar kerana itu perintah Allah dan bukan mudah untuk diamalkan tetapi jika kita latih diri untuk terus bersabar walaupun sukar pada mulanya, lama-kelamaan ia akan menjadi sebahagian daripada diri kita,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Jemaah haji Malaysia dijadual bergerak ke Arafah secara berperingkat bermula 4 Jun depan bagi memghadapi Hari Wukuf yang dijangka jatuh pada 5 Jun bersamaan 9 Zulhijjah.
Beliau berkata, sebelum bertemu Hari Wukuf, para jemaah akan mengikuti program khas yang diaturkan oleh Tabung Haji (TH), namun berbeza keadaannya di Mina apabila jemaah perlu memenuhi waktu dengan pengisian yang bermanfaat.
“Di Mina, jemaah perlu bijak mengurus masa lapang dengan pengisian kendiri seperti berzikir, membaca al-Quran, berdoa dan berehat secukupnya.
“Ketika itulah waktu terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah tanpa gangguan dunia luar tetapi jika masa itu dibiarkan kosong, di situlah tekanan mula datang,” katanya.
Jelasnya, beberapa faktor seperti jemaah semakin ramai dan cuaca makin panas semasa tempoh Masyair akan membuatkan tekanan sosial meningkat dan trend kes-kes kaunseling juga bertambah.
“Jadi unit kaunseling turut mengjangkakan kemuncak keperluan sokongan emosi adalah semasa tempoh tersebut.
“Unit kaunseling ini bersedia 24 jam dengan kaunselor berdaftar yang terlatih, bukan sahaja mendengar masalah tetapi memberi bimbingan agar jemaah kekal fokus kepada matlamat utama iaitu mendapatkan haji mabrur,” katanya.
Tambahnya, dengan sokongan sistem kaunseling yang kukuh, pengurusan rapi dan semangat ukhuwah sesama jemaah, TH yakin para tetamu Allah ini Tabung Haji mampu menghadapi cabaran ketika Masyair.