MARANG – Seorang penternak tersenyum lebar apabila menerima tempahan 20 ekor lembu sado termasuk dari luar Terengganu untuk dijadikan korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
Nor Faizi Mamat berkata, setiap ekor lembu sado yang ditempah itu seberat antara 800 kilogram (kg) hingga 1.1 tan.
Katanya, lembu sado ternakannya dijual pada harga RM18,000 hingga RM30,000 seekor.
“Lembu sado paling berat ialah 1.1 tan yang bernama Kiko berusia tiga tahun.
“Lembu ini yang paling saya sayang kerana pernah beberapa kali memenangi pertandingan di sekitar negeri ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Parit di sini semalam.
Menurutnya, dia turut menerima tempahan kira-kira 70 ekor lembu biasa bagi ibadah korban setakat ini.
Katanya, kesemua lembu biasa itu seberat antara 300 hingga 500kg yang dijual pada harga bermula RM4,800 hingga RM6,000 seekor.
“Saya menjangkakan menerima tempahan sekurang-kurangnya 100 ekor lembu biasa dan sado sempena sambutan hari raya haji ini.
“Kesemua haiwan ruminan ini dalam keadaan sihat dan menerima suntikan vaksin,” katanya yang menternak 300 ekor lembu di sebuah ladang ternakan di Jambu Bongkok, di sini.














