KUCHING – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak bersama-sama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menahan lima individu kerana menyimpan dan memiliki pelbagai spesies hidupan liar yang terlindung di beberapa daerah negeri ini.
Timbalan Komander PGA Briged Sarawak, Asisten Komisioner Rosdi Inai berkata, tangkapan pertama pada 13 Mei lalu, hasil serbuan di sebuah rumah di Bau, dengan penahanan seorang wanita berusia 42 tahun.
“Hasil pemeriksaan menemukan 15 ekor burung dan lapan ekor kura-kura pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM112,885,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, tangkapan kedua pada 14 Mei ke atas seorang lelaki berusia 57 tahun di Kuching kerana memiliki 36 ekor burung dan 40 ekor kura-kura bernilai RM79,450.
Pada hari sama, seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun ditahan di Miri kerana memiliki tujuh ekor burung pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM27,800.
“Seorang lagi lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan di Sibu kerana memiliki tujuh ekor tupai pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM15,000.
“Pada 15 Mei, seorang lelaki warga emas berusia 62 tahun ditahan kerana memiliki sembilan tanduk rusa pelbagai saiz spesies sambar, bernilai RM9,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE