PETALING JAYA – Sikap pemurah hati seorang lelaki membelikan ayam goreng untuk diberikan kepada kucing jalanan mendapat pujian orang ramai.
Kisah lelaki tersebut mula tular di media sosial apabila seorang pengusaha restoran mendedahkan mengenai usaha murni lelaki berkenaan.
Katanya, dia pada mulanya hairan apabila lelaki terbabit sering membeli 20 ke 30 ketul ayam goreng dan diletakkan di dalam beg plastik.
“Pelanggan ini beli 20 ke 30 ketul ayam goreng setiap hari. Mula dulu hairan jugak kenapa beliau tak masukkan ayam dalam palstik bungkus lauk, tapi terus masukkan dalam plastik beg.
“Rupa-rupanya ayam goreng itu untuk kucing-kucing jalanan yang ada sekitar TTDI dan Sungai Penchala.
“Semoga Allah permudah dan perbanyakkan rezeki untuk orang-orang pemurah seperti pelanggan ini,” katanya.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna memuji sikap lelaki tersebut yang menyayangi haiwan.
“Alhamdulillah, pernah buat dulu. Siap tempat ayam, takut habis. Rezeki tak pernah putus Allah bagi sentiasa rasa cukup walaupun kadang-kadang semput juga. Kita tak kaya mana, tapi mudah tersentuh kalau haiwan dalam kelaparan,” kata Asyu.
“Another level punya kebaikan, semoga di bawah payung rahmat Allah SWT selalu,” kata Hafiz.
“MasyaAllah. Hebatnya orang pemurah ni. Semoga berpanjangan saham akhirat dia nanti,” puji Safurah. – KOSMO! ONLINE