SUNGAI PETANI – Dua remaja lelaki berusia 17 tahun maut manakala dua rakan mereka cedera selepas motosikal dinaiki bergesel sesama sendiri dalam kejadian di Kilometer 89.7 Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.16 pagi itu, kedua-dua pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Guar Chempedak, dekat sini maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari arah Gurun ke Sungai Petani.
“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha YI5ZR dan Yamaha LC135 yang masing-masing dituggang dua pelajar tingkatan lima itu bergesel sesama sendiri sebelum mereka terjatuh ke tengah laluan.
“Disebabkan jarak terlalu dekat, dua lagi rakan mereka yang masing-masing menunggang motosikal Yamaha Y15ZR di belakang tidak sempat mengelak dan merempuh mangsa yang sedang menggelongsor menghalang laluan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, akibat rempuhan kuat itu, dua lagi remaja yang berusia 19 tahun turut mengalami kecederaan parah.
Tambahnya, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat dan rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE