fbpx
Ryan dengan ikan tambak asso di kawasan unjam (kanan).

‘Memanggil’ tambak Pemanggil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kebiasaannya, saya akan turun ke Pulau Pemanggil, Mersing, Johor ini untuk jigging atau casting heavy sinking lure. Pancing dasar pula hanya dilakukan pada awal-awal era
saya ke sini sekitar tahun 2004 dahulu.

Namun, pada trip kali ini, lebih masa diluangkan untuk pancing dasar. Pertama kerana saya membawa isteri dan anak bongsu bersama. Keduanya, ahli trip lainnya semuanya warga emas dari Singapura dengan umur 60 tahun ke atas. Paling veteran ialah Pak Amin yang berumur 80 tahun.

Trip ini berlangsung selama empat hari tiga malam dan kami menginap di Pemanggil Holiday Resort milik Pak Dagang dan sekarang dikendalikan oleh anaknya, Zurai. Resort ini terletak di Kampung Buau, satu-satunya kampung di Pulau Pemanggil yang masih lagi berpenghuni.

Suasana kampung yang bersih dan sunyi merupakan perkara paling saya suka jika berkunjung ke sini. Terasa suasana seperti di kampung 40 tahun yang dahulu.

Perkhidmatan yang ditawarkan dalam satu harga, merangkumi kos perjalanan pergi balik dari Mersing ke pulau, bot pancing kayu untuk 10 orang pemancing atau bot fiber antara enam hingga lapan orang pemancing dan bilik penginapan, selain makanan pagi, tengah hari dan malam.

Bagi saya, dalam banyak-banyak trip memancing yang bermalam, tidak kira untuk dua hari satu malam, tiga hari dua malam atau lebih lagi di Pulau Pemanggil, inilah yang paling murah cajnya.

Pancing dasar

Ketika trip ini, saya masih melakukan jigging dan casting, tetapi hanya sekali-sekala jika ada masa terluang.

Target utama tetap pancingan dasar kerana ramai veteran di dalam bot ini lebih ke arah kaedah tersebut.

Jeti di Kampung Buau, Pulau Pemanggil.

Ini disebabkan faktor kudrat dan mereka ingin bersantai.

Sambil berborak kisah silam sambil mengutuk mesra antara mereka, banyak ilmu dapat diperoleh daripada pengalaman mereka.

Paling seronok, saya sekeluarga terikut-ikut gaya percakapan mereka seolah-olah stail Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan rakan-rakan pelakon sezaman dengannya, memang gaya orang-orang lama.

Walaupun lebih ke arah pancing dasar, namun sekali-sekala tekong kata sudah sampai di lokasi berpotensi untuk jigging, set jigging tetap mereka akan turunkan.

Ada juga spesies ikan trevally yang mereka dapat dengan jig.

Tidak kalah dengan perkembangan semasa, set-set jigging terkini juga mereka gunakan untuk pancing dasar.

Hasilnya, tentulah kepuasan kerana set-set jigging lebih ringan dan sensitif terhadap getuan ikan, selain lebih berkuasa ketika perlawanan dengan ikan.

Spesies ikan tambak

Bagi pemancing dasar, selain jenahak, gerut-gerut, kerapu, merah, kerisi dan bermacam lagi, ikan tambak juga menjadi target utama. Ikan yang tergolong dalam famili Lethrinidae ini ada beberapa subspesies.

Ia boleh dibezakan berdasarkan bentuk mulut, badan, sirip, warna, jalur atau bintik di badannya.

Sudah lama saya tidak kena ikan tambak saiz begini.

Ada banyak nama untuk spesies ikan tambak ini. Setiap daripadanya berbeza mengikut sebutan tempatan di lokaliti ia berada. Dalam bahasa Inggeris, ia dipanggil emperor fish.

Sekitar 30 hingga 40 tahun dahulu, rata-rata saiz ikan tambak kasar-kasar belaka dengan saiz dua hingga tiga kilogram (kg).

Namun, zaman sekarang, sudah payah hendak jumpa saiz besar, ikan tambak saiz satu hingga dua kilogram sudah dianggap ‘bagak’.

Karang ikan tambak

Petang hari pertama, kami pergi ke satu kawasan karang yang banyak didiami oleh ikan tambak.

Bot tidak dapat diparkir di karang ini kerana saiznya kecil.

Jadi bot terpaksa menuju ke atas sedikit dan dibiarkan ia ber­hanyut di atas kawasan karang.

Ikan biasanya akan terus me­nerkam umpan sebaik sahaja lalu di depannya.

Jadi, kami perlu pantas menurunkan umpan sebelum bot melepasi zon ikan.

Masa pula terlalu spesifik kerana ikan hanya mahu makan ketika lewat petang iaitu antara pukul 6.30 petang hingga melepasi waktu maghrib. Gelap sahaja, terus lokasi menjadi sunyi.

Menarik lagi, sudah bertahun lokasi ini menjadi mahligai ikan tambak. Selama itu sememangnya perangai ikan di karang ini tidak pernah berubah.

Pergilah waktu lain, langsung tidak dilayannya apa pun yang ditawarkan.

Ikan tambak di lokasi ini berwarna pucat atau orang Pulau Pemanggil panggil ikan tambak asso atau assoh.

Ia dikatakan spesies ikan tambak yang isinya paling lembut dan mempunyai rasa lebih enak berbanding spesies ikan tambak lain.

Selain daripada karang tambak tersebut, ada juga karang-karang lain yang dihuni oleh ikan tambak, cuma di tempat lain ia bercampur-campur dengan spesies lain seperti kerapu dan kerisi atau tambak jenis biasa.

Hanya di karang istimewa itu sahaja yang ada ikan tambak asso ini.

Kami juga memancing ikan tambak di lokasi-lokasi lain yang berupa karang dan unjam.

Unjam yang biasa dihuni tambak adalah unjam-unjam lama, jarang ikan tambak akan duduk di unjam baru dibina.

Teknikal pancing tambak

Memancing dasar ikan tambak ini cukup mudah, hanya perlu satu batu ladung jenis hidup (running sinker) bentuk buah kana dengan saiz mengikut kederasan arus.

Jika tidak mahu guna batu ladung sebegitu, anda boleh sahaja guna ranggong hidup (running spreader) bersaiz kecil dengan klip batu ladung bentuk bomb.

Paling penting, batu ladung harus sentiasa mencecah dasar. Masukkan ladung melalui shock leader dan matikan dengan satu swivel.

Di hujung swivel itu ikat perambut pendek sepanjang sejengkal ke sejengkal setengah berkekuatan 20 hingga 30 paun
(lb) dan diikat satu mata kail saiz 1/0.

Umpan udang, hirisan sotong dan ikan, di mana lagi segar umpan, lagi gila ikan tambak mahu membedalnya.

Anda harus cepat menyembat joran kerana ikan tambak ini terkenal dengan sifat pandai menggetu umpan sehingga licin.

Memancing ikan tambak ini sememangnya seronok lebih-lebih lagi kepada kami yang sudah lama merindui suasananya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN