TELUK INTAN – Kerajaan negeri Perak menyalurkan bantuan kewangan kepada sembilan keluarga anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut akibat kemalangan di Jalan Chikus-Sg. Lampam di sini pagi tadi.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah yang mewakili Menteri Besar Perak berkata, sumbangan kerajaan negeri itu adalah untuk meringankan beban ahli keluarga untuk menguruskan pengebumian mangsa.
“Insya-Allah pada mesyuarat Exco akan datang Menteri Besar akan berbincang dengan ahli-ahli majlis kerajaan negeri untuk kita fikirkan apa kaedah bantuan lain yang boleh membantu waris dan mereka yang terlibat ini,” katanya selepas memziarahi waris mangsa kemalangan berkenaan di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) di sini.
Terdahulu, dalam kejadian pukul 8 pagi itu, lapan anggota FRU meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi di HTI.
Pada masa sama, Khairudin berkata, kerajaan negeri Perak mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dan mendokan agar mereka yang cedera sembuh kembali. – KOSMO! ONLINE