PETALING JAYA – Terkesan dengan insiden anak gajah mati dilanggar lori, penyanyi Yuna mengakui tidak mampu melihat video mahupun gambar yang melibatkan nahas berkenaan.
Kata Yuna atau nama lengkapnya Yunalis Mat Zara’ai, 39, tindakan ibu gajah setia menunggu anaknya yang sudah tidak bernyawa sangat meruntun emosinya.
“Saya tak sanggup lagi melihat gambar atau video gajah malang ini yang enggan beredar dari lori yang telah meragut nyawa anaknya.
“Video ibu gajah itu benar-benar membuatkan hati saya hancur hari ini (semalam),” katanya dalam Threads.
Pada masa sama, pelantun lagu Terukir Di Bintang itu mempersoalkan bagaimana cara terbaik untuk membantu hidupan liar hidup dengan lebih selamat.
“Kita perlu buat lebih baik, Malaysia. Apa yang boleh kita lakukan sebagai manusia untuk membantu menyelamatkan hidupan liar?
“Saya ada baca tentang wildlife corridors (koridor hidupan liar) dan sememangnya pembalakan dan penebangan hutan adalah puncanya.
“Tapi apa yang boleh kita lakukan sekarang untuk menyelamatkan hidupan liar Malaysia yang begitu indah dan berharga ini?,” soalnya.
Semalam, tular sebuah rakaman video memaparkan seekor gajah betina cuba menolak sebuah lori yang dipercayai melanggar anaknya di Jalan Raya Timur-Barat-Gerik-Jeli.
Video berdurasi lebih satu minit yang mengundang reaksi sebak orang ramai itu menunjukkan kemalangan membabitkan lori muatan ayam di mana anak gajah terbabit terperosok di bawah kenderaan terbabit. -KOSMO! ONLINE