PETALING JAYA – Gejala gay dalam kalangan belia termasuk golongan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) semakin serius, malah mereka turut menjadikan aktiviti luar tabii itu untuk menikmati kehidupan mewah.
Seorang gay muda yang dikategorikan sebagai ‘bawal putih’ mampu meraih bayaran sehingga RM6,000 hanya untuk satu malam dengan menjadi pemuas nafsu kelompok elitis yang berselera songsang.
Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, belia yang terjebak dalam aktiviti gay sukar dikenal pasti pada pandangan kasar kerana perwatakan dan penampilan mereka sama seperti lelaki lain.
Beliau berani mendedahkan perkara itu kerana menerima banyak kes termasuk golongan mahasiswa.
“Mereka menemui saya bagi mendapatkan bantuan untuk membebaskan diri daripada belenggu gay selepas mula merasai kekesalan.
“Kesedaran timbul daripada individu itu sendiri. Dia rasa berdosa, bersalah, namun kadangkala nafsu itu tetap datang walaupun sudah insaf,” katanya kepada Kosmo! di pejabatnya di Klang baru-baru ini.
Menurutnya, sebahagian mereka turut terdiri daripada bekas pelajar pusat tahfiz dan sekolah pondok.
Katanya, rata-rata ‘anak ikan’ mengaku terjebak dalam hubungan seks songsang ketika berada di asrama selepas dinodai oleh penjaga mahupun rakan-rakan mereka.
“Apabila masuk IPT mereka jadi lebih bebas dan disebabkan kekurangan wang untuk menampung pengajian ada yang terpengaruh menjadi anak ikan kepada lelaki kaya.
“Mula dibela sugar daddy. Mampu memiliki telefon bimbit dan kereta yang lebih mahal berbanding pensyarah, malah ada yang mengaku terlibat dalam aktiviti gay secara berkumpulan di kondominium,” katanya.

Menurutnya, gay mempunyai banyak kategori seperti ‘bawal putih’, ‘bawal hitam’, ‘cencaru’, ‘selar kuning’, ‘ikan buntal dan paling mahal ‘bawal putih’ boleh dapat satu malam RM6,000.
Katanya, ‘bawal putih’ maksudnya gay muda yang kulit putih gebu, menarik, menghairahkan dan perkhidmatan tip top.
“‘Selar kuning’ tubuh badan kurang menarik, tetapi pandai menggoda. Bayaran RM500 ke bawah. ‘Bawal hitam’ lelaki hitam gebu dan menarik. Satu malam dalam RM5,000.
“‘Ikan buntal’ perut buncit. Ramai suka lelaki tua. Murah sekitar RM50. Lain-lain ‘cuci karpet’, ‘cuci kawah’, ‘limau nipis’ pendekatan seks yang teransang.
“Masa saya mula-mula buat kes-kes ‘anak ikan’ ini rasa macam nak demam sehinggakan saya berkata dalam hati Ya Allah mesti ada sebab hantar mereka ini kepada saya. Itu sebab hingga hari ini merata-rata tempat saya berceramah mengenai gejala gay,” katanya.
Tegasnya, gejala gay semakin serius dan jika 20 tahun lalu, banyak kes HIV disebabkan penyalahgunaan dadah, tetapi sekarang akibat hubungan seks songsang.
Katanya, kegiatan itu sukar ditangani kerana ia melibatkan perlakuan seks lelaki dengan lelaki berbanding aktiviti seks lelaki dengan perempuan yang lebih mudah dikesan.
“Justeru, dalam sesi kaunseling bagi membantu belia gay antara perkara yang diterapkan adalah membina keyakinan diri untuk menjadi kuat mengawal nafsu songsang.
“Mereka beragama Islam diminta supaya menjaga solat dan kerap beribadah selain berpuasa sebagai ubat paling mujarab untuk membantu mereka berubah.
“Jangan fikir naluri gay tidak boleh dibantu untuk berubah. Naluri seksual itu boleh diubah secara berfasa,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, berdasarkan pengalamannya, untuk membantu golongan tersebut tidak boleh dilakukan dalam tempoh satu atau dua tahun.
“Ia akan mengambil masa yang panjang untuk memulihkan mereka terutama di zaman media sosial ini yang memudahkan mereka terdedah kepada gejala gay.
“Sebab itu di Selangor kita ada Ar-riqab di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), rumah perlindungan untuk memberi sesi kaunseling dan membantu golongan ini,” katanya.















