JOHOR BAHRU – Gara-gara perselisihan faham angkara bersalam tidak mencium tangan, seorang vokalis sebuah kumpulan muzik dibelasah beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki.
Insiden kejadian itu tular di laman sosial menerusi dua rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sejak beberapa jam yang lalu.
Menerusi tinjauan Kosmo! di ruangan komen hantaran berkenaan, kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di Jalan Wadi Hana, Wadi Hana, di sini ketika satu acara persembahan muzik pada malam semalam.
Menerusi rakaman video pertama berdurasi satu minit menunjukkan beberapa lelaki keluar dari sebuah bilik pusat hiburan seperti mencari seseorang.
Tidak lama kemudian, mangsa yang memakai baju t-shirt putih berseluar pendek keluar dari bilik sebelum ke tandas.
Beberapa lelaki menarik mangsa sebelum memukul tanpa belas kasihan.
Dalam video kedua pula, beberapa lelaki berkepala botak memukul mangsa dan salah seorang daripada mereka ddipercayai mengeluarkan senjata namun dihalang rakannya.
Mangsa kemudian ditarik lagi sebelum dilihat dipukul menggunakan tong sampah.
Menerusi hantaran yang dimuat kumpulan muzik terbabit, punca insiden itu berlaku tanpa alasan jelas mengapa mangsa yang dikenali sebagai Zed dipukul.
Dakwa mereka, Zed dipukul kerana tidak mencium tangan ketika bersalaman dengan kumpulan suspek berkenaan.
Malah dakwa mereka, ketika rancak persembahan berjalan, tiba-tiba ada individu menyimbah air disyaki air kencing ke arah kumpulan muzik terbabit.
Kosmo! sedang mendapatkan berita lanjut berkaitan insiden berkenaan daripada pihak penganjur dan polis. – KOSMO! ONLINE