POPULARITI aktiviti rekreasi air yang semakin meningkat dalam golongan Gen Z dewasa ini mendorong syarikat rekreasi, Hikers Adventure Team memperkenalkan satu lagi aktiviti iaitu ‘stand up paddle’ (SUP) atau berdayung sambil berdiri di atas papan luncur.
Aktiviti SUP yang agak baharu tersebut, sekali gus menjadi tarikan pelancong domestik dan luar di negeri Selangor.
Menariknya, aktiviti SUP tersebut kini mendapat sambutan sebagaimana kayak duduk.
Pengarah Operasinya, Ahmad Nazri Ismail berkata, sejak tiga tahun yang lalu aktiviti tersebut secara beransur-ansur berjaya menarik perhatian pengunjung dalam kalangan warga Lembah Klang.
Menurut Ahmad Nazri, dia menerima antara 80 sehingga 90 pelanggan khususnya pada cuti hujung minggu.
“Bayaran berpatutan serendah RM40 dikenakan bagi satu jam untuk aktiviti SUP tersebut.
“SUP ini sesuai untuk semua golongan meskipun bagi mereka yang kurang atau tidak biasa dengan aktiviti berkenaan.
“Kita akan memberi penerangan dan membimbing pengunjung semasa aktiviti tersebut kerana apa yang penting ia memerlukan keseimbangan badan ketika berdiri di atas papan pendayung tersebut,” kata Ahmad Nazri ketika ditemui di Tasik Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Beliau berkata, aktiviti SUP tersebut memberi kepuasan tersendiri kerana mampu menguji kesimbangan badan, keyakinan diri selain dapat menikmati keindahan kawasan perairan seperti tasik, danau mahupun laut seolah berjalan di atas permukaan air.
Katanya lagi, bagi peserta yang kurang yakin dengan kemampuan diri untuk melakukan aktiviti air pihaknya mengadakan kursus pendek membina keyakinan diri atau building water confident untuk peserta melakukan aktiviti di kawasan berair.
“Aktiviti unik ini menerima sambutan cukup hebat dalam kalangan peserta korporat dan pelajar universiti.
“Justeru, bagi orang muda yang masih tidak yakin untuk berdiri di atas papan luncur tersebut, kita latih mereka untuk membina keyakinan diri dan berani,” ujarnya
Mengulas mengenai peralatan SUP, pihaknya mengeluarkan modal sekitar RM30,000 sehingga RM40,000 bagi menyediakan 20 set peralatan.
Peralatan tersebut jelasnya, melibatkan peralatan pendayung, papan luncur dan jaket keselamatan.
“Insya-Allah selepas ini, saya bercadang melakukan proses penambahbaikan selain menambah lagi set papan luncur untuk menampung permintaan yang semakin meningkat,” ujarnya.
Selain untuk rekreasi katanya lagi, aktiviti tersebut mampu membentuk peribadi seseorang yang lebih fokus dalam memburu cita-cita secara individu mahupun dalam satu pasukan.
Tambah Ahmad Nazri, aktiviti berdayung secara berdiri tersebut dibuka dari awal pagi sehingga pukul 6.30 petang pada hari Sabtu dan Ahad.














