PETALING JAYA – Seorang penduduk di kawasan perumahan Blok 7, Bandar Tasik Puteri, Rawang dekat sini menjadi mangsa terbaharu serangan anjing liar pagi ini.
Serangan itu berlaku kira-kira pukul 7 pagi tadi sewaktu mangsa sedang beriadah di sekitar kawasan perumahan.
Kejadian itu juga adalah insiden kedua melibatkan haiwan terbabit selepas selepas Muhammad Adeeb Naqiuddin Mohd Zarawi, 14, diserang minggu lalu.
Dalam kejadian itu, Muhammad Adeeb dilaporkan mengalami kecederaan parah pada beberapa abdomen badan selepas terjatuh ke dalam longkang dan kini masih mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.
Menurut Mohd. Zarawi Manaf, 47, yang juga bapa kepada Muhammad Adeeb, mangsa terbaharu itu adalah seorang wanita yang sedang berjogging dan telah diserang empat ekor anjing.
Bagaimanapun katanya, hanya seekor sahaja anjing menggigit mangsa sewaktu kejadian.
“Mangsa mengalami kecederaan pada paha dan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.
“Setakat ini, keadaan mangsa stabil dan sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan lanjut,”katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Mohd Zarawi yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Indah Heights Blok 6 berkata, beliau kesal kerana sudah banyak aduan dikemukakan penduduk mengenai anjing liar di kawasan terbabit, namun tiada tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.
Jelasnya, serangan kedua ini amat mengejutkan penduduk di situ dan mereka semua berharap agar pihak Majlis Perbadaran Selayang mengambil tindakan secepat mungkin sebelum lebih ramai lagi menjadi mangsa haiwan tersebut.
“Tolonglah tangkap anjing-anjing liar ini dengan segera. Kami dah trauma, dah dua kes berlaku di sini, jangan sampai ada lagi kes seumpama ini berlaku selepas ini,”rayunya.-KOSMO! ONLINE