“DOKTOR adalah harapan terakhir kami. Tolong lakukan sesuatu untuk kami.”
Itulah rintihan yang keluar daripada mulut seorang ibu kepada tiga cahaya mata selepas kehilangan suaminya akibat jangkitan virus kurang imun (HIV) sekitar 17 tahun lalu.
Kata-kata itu masih meninggalkan kesan yang sangat mendalam sehingga menjadi pencetus kepada komitmen Dr. Zaiton Yahaya dalam memperjuangkan isu HIV dan sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) secara menyeluruh.
“Daripada pengalaman itu, saya menubuhkan Sabah AIDS Awareness Group Association (SAGA) sebagai wadah untuk mendekati komuniti yang selalu didiskriminasi oleh masyarakat ini.
“Ia memberi saya peluang untuk berkhidmat di lapangan dan melakukan pencegahan sebelum mereka dijangkiti.
“Kebanyakan pesakit telah dijangkiti dan berada dalam keadaan teruk kerana lambat mendapatkan rawatan di klinik,” katanya sebagai mukadimah bersama K-Wanita.
Berpeluang bertemu dan menemu bual pemilik Dr. Zaiton dalam sebuah majlis Aidilfitri di ibu kota baru-baru ini, wanita berusia 62 tahun itu dilihat begitu aktif dan tidak langsung menggambarkan usianya.
Berkongsi tentang asal usul, Dr. Zaiton memaklumkan, dia dilahirkan di Singapura kerana bapanya bertugas sebagai askar British.
Ujarnya, dia mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Butterworth, Pulau Pinang, sebelum melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam, Selangor.
“Saya telah diberi peluang untuk belajar dalam bidang perubatan di Vrije University Brussel di Belanda selama lima tahun.
“Setelah tamat pengajian, saya pulang ke tanah air dan memulakan perkhidmatan di Hospital Besar Pulau Pinang, kemudian ke Hospital Duchess of Kent di Sandakan, Sabah,” katanya.
Meneruskan perkongsian, dia kemudian menyambung pengajian ke peringkat sarjana di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, sebelum menjadi pakar perubatan keluarga di Klinik Kesihatan Sandakan.
“Pada 2012, saya menjadi pakar perunding perubatan keluarga dan telah membuat Area of Interest (AOI) dalam HIV/AIDS di The University of Melbourne, Australia,” katanya.
“Saya telah pun menamatkan perkhidmatan dalam kerajaan sejak dua tahun lalu. Kini, saya aktif berkecimpung dalam badan bukan kerajaan (NGO) yang saya sertai sejak tahun 2008 kerana minat mendalam.
“Kini, saya merupakan Pengasas dan Presiden SAGA iaitu sebuah NGO yang memberi kesedaran mengenai HIV dan AIDS kepada masyarakat.
“SAGA turut menjadi partner organization di bawah naungan Majlis AIDS Malaysia (MAM) dan saya juga pernah menjadi Ahli Exco MAM.
“Hasil pengalaman yang ada, saya turut diberi kepercayaan untuk menjadi Setiausaha Kehormat MAM dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF) bagi sesi 2024-2027,” ujarnya.

Atas jasa dan sumbangannya dalam bidang HIV dan AIDS di negara ini, Dr. Zaiton pernah menerima Anugerah Tun Dr. Siti Hasmah pada 2019.
Bagi ibu kepada tiga cahaya mata itu, anugerah tersebut bukan sekadar satu penghormatan peribadi, malah menjadi simbol pengiktirafan terhadap usaha kolektif semua pihak yang telah berjuang menangani HIV dan AIDS, khususnya di Sabah.
“Anugerah ini memperkukuhkan komitmen saya untuk terus berjuang meningkatkan kesedaran, menghapuskan stigma dan memastikan akses rawatan yang adil bagi golongan terkesan.
“Ia juga telah menyuntik semangat baharu kepada saya dan pasukan SAGA untuk memperluaskan inisiatif seperti Program Akses Kesihatan SAGA (SHAPE).
“Program ini menyediakan bantuan kewangan kepada pesakit HIV dan penyakit kronik lain yang tinggal di kawasan pedalaman.
“Ia dapat membantu dari segi bayaran tambang kepada pesakit terutamanya dari komuniti terpinggir untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kerajaan.
“Program ini bermula di Sandakan dan telah berkembang ke Lahad Datu, Tawau, Kunak, Semporna dan Kota Kinabalu,” katanya.
Berkongsi lanjut, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, pandangan serong masyarakat terhadap pesakit HIV telah menyebabkan pesakit yang sudah mempunyai simptom lewat ke klinik untuk membuat saringan.
“Ramai pesakit yang telah dijangkiti tidak patuh dengan rawatan kerana takut kepada stigma dan skeptikal masyarakat di luar sana.
“Kita perlu lebih pragmatik dan berpijak di bumi nyata bahawa naratif moral semata-mata tidak akan membantu pesakit.
“Sebaliknya, respons kepada penyakit HIV mesti berlandaskan bukti sains dan kesihatan awam.
“Pendekatan pencegahan dengan penggunaan kondom dan akses kepada Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) dan ujian saringan secara berkala harus diperkasakan terutamanya dalam kalangan komuniti berisiko tinggi,” tuturnya.
Tambahnya, cabaran lain adalah dari segi pendedahan awal yang dilihat masih kurang terutamanya berkaitan pendidikan awal mengenai seks selamat dalam kalangan generasi muda.
“Hal ini kerana pendidikan seksual yang inklusif dan berasaskan hak asasi manusia adalah ‘kunci’ untuk membina masyarakat lebih sihat dan berdaya tahan.
“Bagi saya, perjuangan ini bukan hanya tentang rawatan dan pencegahan, sebaliknya mengenai memanusiakan semula respons terhadap pesakit HIV dengan mendengar, memahami dan menyantuni tanpa prejudis,” katanya.
Ditanya tentang sejauh mana stigma masyarakat terhadap HIV dan AIDS ketika ini, dia memiliki jawapan tersendiri.
Jelasnya, dalam era serba moden dan berteknologi tinggi, kita telah menyaksikan banyak kemajuan dalam bidang perubatan serta kesedaran awam mengenai penyakit berjangkit termasuk HIV.
“Namun begitu, stigma dan salah tanggapan terhadap pesakit HIV masih wujud dalam sebahagian masyarakat.
“Akses kepada maklumat kini jauh lebih mudah dan rawatan HIV telah terbukti berkesan sehingga individu yang hidup dengan HIV boleh mencapai tahap ‘tidak dapat dikesan serta tidak berjangkit’.
“Namun, mentaliti konservatif dan ketakutan lama masih mempengaruhi persepsi sesetengah pihak.
“MAM melihat keperluan untuk memperkukuhkan usaha pendidikan awam secara berterusan dengan berasaskan fakta.
“Kita mesti menekankan bahawa HIV adalah penyakit kronik yang boleh diuruskan.
“Diskriminasi terhadap individu yang hidup dengan HIV adalah tidak berasas, tidak adil dan tidak sejajar berlaku dalam prinsip kemanusiaan atau kesihatan awam,” katanya.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Dr. Zaiton memaklumkan, dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang, dia menjangkakan peranannya mungkin lebih bersifat penasihat berbanding operasional ketika ini.
“Namun, selagi kesihatan mengizinkan, saya akan terus terlibat dalam perjuangan isu HIV dan AIDS, kesihatan wanita serta komuniti terpinggir.
“Saya percaya bahawa pengalaman dan rangkaian yang telah dibina selama ini masih boleh dimanfaatkan untuk membimbing aktivis dan profesional kesihatan baharu.
“Saya tidak melihat persaraan sebagai titik noktah, tetapi sebagai fasa untuk menyumbang dengan cara yang lebih strategik serta lestari.
“Saya masih membimbing anak muda menjadi doktor perubatan.
“Saya juga masih memberi bimbingan dan membuat jaringan bersama pengamal perubatan lain dalam kerja-kerja kemasyarakatan,” katanya.
Akhir kata, Dr. Zaiton memaklumkan, tugas itu bukan mengenai individu, sebaliknya tentang kesinambungan yang berterusan.
“Saya bersyukur kerana usaha ini semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda yang lebih terbuka, berpengetahuan dan berani menyuarakan isu-isu kesihatan awam secara progresif,” ujarnya.














