fbpx
DI lorong inilah terletak rumah yang disewa suspek disyaki mendera anak mereka di Taman Seri Pelangi, Alor Gajah. – ARIF HAMIZAN MISKON

‘Kami lihat bayi longlai dibawa keluar rumah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Pasangan suami isteri yang direman kerana disyaki mendera bayi lelaki mereka berusia dua bulan hingga parah dikatakan telah bergaduh sebelum membawa mangsa keluar dari rumah dalam keadaan longlai di Taman Seri Pelangi di sini, Isnin lalu.

Menurut jirannya yang ingin dikenali sebagai Ramlah, 53, dia yang menetap di bahagian bawah rumah jenis townhouse ada terdengar bunyi bising akibat pertengkaran yang berlaku antara suspek.

“Saya ada dengar mereka bergaduh dan bunyi seakan-akan pintu dihempas sebelum ambulans tiba di hadapan rumah kami.

“Jiran lain juga nampak suspek lelaki memegang bayi mereka yang longlai, seperti sedang tidur masuk ke dalam ambulans dan apabila ditanya, isterinya hanya memberitahu bayi itu lemah,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Seorang lagi jiran Samsiah, 47, berkata, bayi itu memang se­ring didengari menangis, namun tidak menyangka akibat didera.

“Memang bayi itu selalu menangis, tetapi kami ingat dia kena ‘sawan tangis’ atau gangguan yang menyebabkan dia menjadi begitu kerana rumah yang disewa mereka tidak diduduki orang sejak 10 tahun lalu.

“Kami sampai tertanya-tanya kenapa si ibu ini tidak meminta nasihat daripada orang tuanya memandangkan bayi itu anak sulung mereka, mungkin masih tidak mahir untuk melayani bayi yang kerap menangis,” ujarnya.

Katanya, keluarga itu menyewa pada Ramadan lalu dan tidak pernah dilihat menerima kunju­ngan daripada ahli keluarga atau tetamu lain termasuklah pada sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Menurutnya, sejak mengetahui bayi itu berada dalam kritikal akibat didera, dia dan jiran dirundum perasaan bersalah kerana tidak memeriksa keadaan mang­sa di rumah berkenaan.

“Memang rasa sangat bersalah sebab kami sering dengar bayi itu menangis, tetapi belum datang melawat kerana ingin berikan masa kepada si ibu berehat.

“Ada sesekali nampak juga si ibu bawa bayinya keluar ambil angin di luar rumah dalam kea­daan lengkap bersarung tangan dan kaki, jadi memang tak sangka kejadian ini berlaku,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN