SHAH ALAM – Penyanyi Datuk Nora Ariffin menerima dengan hati yang reda sekiranya jodoh dengan suaminya, Dr. Rushdi Ramli berakhir pada sebutan pertama tuntutan perceraian mereka Mahkamah Rendah Syariah Petaling, di sini hari ini.
Hadir dengan persalinan serba putih, Nora atau nama lengkapnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 51, berkata, mahu memulakan kehidupan baharu tanpa persekitaran dan dikelilingi individu yang toksik.
Nora juga ditemani peguam yang mewakilinya, Sarah Mohd. Ali dan kakak angkatnya, Rafeah Ariffin.
“Kalau jodoh sampai di sini, saya terima, mahu mulakan hidup baru dan keluar daripada persekitaran yang toksik selain ingin membersihkan nama, itu paling penting.
“Kami ada berjumpa tetapi tidak berbincang tentang hal perceraian sebab memang menanti hari ini dan tak mahu tanya serta ingin dia buat keputusan dengan rela hati.
“Dia juga tahu apa yang saya mahu. Kami tak bergaduh cuma berjanji selesaikan dengan cara baik,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Tambahnya, dia juga enggan meletakkan sebarang jangkaan berhubung prosiding hari ini daripada suaminya.
“Saya pun tak tahu, kalau nak teruskan, banyak cabaran, benda lain dan tak mahu melalui banyak perkara sama.
“Saya serahkan kepada pihak mahkamah Saya tak berani nak jangka apa sebab tak pernah melalui situasi ini.
“Segala keputusan yang saya dengar kejap lagi, saya akan terima dengan hati terbuka dan berlapang dada,” katanya lagi.
Pada 21 April lalu, Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling bagi memfailkan permohonan perceraian selepas rumah tangga gagal menemui titik penyelesaian.
Hujung 2021, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya.
Nora sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawai pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata. Jodoh tidak panjang, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung. – KOSMO! ONLINE