fbpx
PULUHAN kereta Mercedes kelihatan memarkir di sekitar Menara Teluk Intan, Perak berhampiran lokasi majlis perkahwinan.

Konvoi Mercedes rai pengantin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELUANG untuk berkonvoi beramai-ramai bagi meraikan pasangan pengantin pastinya tidak akan dilepaskan, khususnya buat penggemar aktiviti itu.

Selain merapat ukhuwah, aktiviti itu juga bagaikan satu terapi yang membolehkan geng konvoi untuk bersantai dan menghabiskan masa melakukan aktiviti yang diminati.

Berkongsi tentang aktiviti konvoi yang disertainya baru-baru ini, Mohamad Amirudin Ahmad Khalid, 32, yang merupakan salah seorang ahli Gabungan Pemilik Mercedes Perak (GPMP) berpeluang berkonvoi bagi meraikan perkahwinan anak kepada salah seorang sahabatnya dari kumpulan tersebut.

“Kebiasaannya kami, ahli GPMP dari pelbagai kelab Mercedes Benz di sekitar Perak akan mengadakan aktiviti bersama seperti bersantai atau konvoi escort pengantin.

“Justeru, sebelum menyambut bulan Ramadan baru-baru ini, kami mengadakan aktiviti konvoi escort pengantin bagi meraikan majlis perkahwinan anak kepada salah seorang sahabat kami yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan.

“Untuk aktiviti escort pengantin, ia kebiasaannya melibatkan antara 10 hingga 20  buah kereta Mercedes dari model klasik, mahupun model terbaharu,” kata Mohamad Amirudin kepada CitaRasa.

Anak kelahiran Teluk Intan itu menambah, konvoi tersebut adalah sebagai memberi kenangan kepada raja sehari dengan pengalaman menaiki Mercedes untuk hari bahagia mereka.

“Selain itu, konvoi ini juga adalah untuk mengeratkan lagi hubungan kalangan ahli kelab Mercedes di sekitar Perak dan juga ahli kelab dari negeri lain yang turut serta.

“Ini kerana, sewaktu konvoi ‘keluarga besar’ peminat Mercedes inilah kami akan berkumpul, bergaul, berkongsi minat serta perkembangan terkini masing-masing,” katanya.

Muhammad Amirudin memberitahu lebih 30 orang terlibat dalam konvoi tersebut, meliputi ahli-ahli dari Kelab Mercedes Osticonti, Benz Crony, Gee Masterpiece, MOG, MCMOC, MMC, NB Garage dan wakil Sri Jay Motor.

Perjalanan dimulakan dengan semua peserta berkumpul di sekitar Padang Speedy, Teluk Intan pada pukul 11 pagi.

Kemudian, tepat pukul 12.30 tengah hari, kereta membawa pengantin jenis Mercedes W115 sampai dan semua peserta bergerak ke Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan secara konvoi, sebelum tiba di dewan tepat pukul 12.45 tengah hari.

Bercerita tentang minat terhadap aktivit konvoi, Mohamad Amirudin berkata dia merupakan ahli Osticonti Club (Old Skool Teluk Intan Conti Club) di Teluk Intan dan mula bergiat aktif dalam aktiviti itu sejak 2021.

“Ketika itu, saya merupakan antara ahli termuda dalam kalangan peminat Mercedes model klasik.

“Sejak dari itu, banyak kenangan konvoi bersama keluarga Mercedes ini yang sentiasa menjadi kenangan manis kepada saya.

“Antaranya saya terlibat dalam Gathering Kelab Mercedes di Kedah pada tahun lalu, Program CSR bantuan bersama MOG (Mercedes Owner Group) di Teluk Intan dua tahun yang lalu dan juga aktiviti-aktiviti lain yang diadakan di sekitar Perak,” katanya.

Dia juga menyifatkan aktiviti berkonvoi memberi keseronokan tersendiri, malah semua peserta dianggap bagaikan ahli keluarga dan bersedia memberikan pertolongan sekiranya berlaku apa-apa masalah.

“Penting juga mempunyai kawan-kawan kelab dari negeri dan daerah yang lain kerana jika ada masalah ketika konvoi yang jauh, kita ada sahabat yang akan sentiasa menghulurkan tangan.

“Saya juga melihat minat terhadap kereta, tidak kira model apa pun adalah satu hobi yang memberi keseronokan dan kebahagiaan buat individu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN