KUALA LUMPUR – Skuad badminton negara mengesahkan tempat ke suku akhir pada saingan Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China selepas mencatat kemenangan 4-1 ke atas Australia sebentar tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Fenghuang itu, Malaysia tidak berdepan sebarang masalah mengutip mata pertama menerusi beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menewaskan Ricky Tan-Gronya Somerville 21-8, 21-12.
Momentum itu kemudiannya diteruskan perseorangan lelaki, Justin Hoh yang memerlukan masa 36 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-9, 21-15 ke atas Shrey Dhand bagi meletakkan Malaysia mendahului 2-0.
Mata ketiga yang juga mata kemenangan pasukan negara disumbangkan K. Letshanaa dalam acara perseorangan wanita selepas mudah membenam Teoh Kai Qi menerusi kemenangan straight set 21-6, 21-8.
Kemudian, giliran beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meletakkan Malaysia berada 4-0 di depan selepas hanya memerlukan masa 26 minit untuk menewaskan Frederick Zhao-Jack Yu 21-8, 21-9.
Bagaimanapun hasrat pasukan negara untuk mencatat kemenangan bersih tidak kesampaian apabila beregu wanita, Go Pei Kee-Carmen Ting tewas 15-21, 18-21 kepada Angela Yu-Somerville.
Selepas ini, Malaysia akan berdepan cabaran sebenar apabila turun menentang pilihan ketiga, Jepun bagi aksi penentuan juara Kumpulan C Khamis nanti. – KOSMO! ONLINE