AMPANG – Pihak pembelaan remaja orang kurang upaya (OKU) yang tular melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Hulu Selangor memohon tertuduh dirujuk kepada pakar psikiatri.
Peguam Lingswaran Singh yang mewakili anak guamnya berusia 19 tahun membuat permohonan itu pada sebutan semula kes di hadapan Hakim Norshila Kamarudin di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
“Kami ingin memaklumkan sepanjang interaksi dan setelah dimaklumkan ibu tertuduh disokong penilai psikologi tertuduh mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan keraguan munasabah bahawa dia berkemungkinan besar mempunyai masalah kewarasan dan tidak berupaya membela diri.
“Jadi, kami ingin membuat permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) untuk tertuduh dirujuk ke hospital kerajaan bagi penilaian psikiatri,” kata peguam itu.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie memaklumkan dokuman yang masih belum tersedia ialah laporan forensik, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), dan laporan perubatan mangsa.
Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim menetapkan 22 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi status laporan pemeriksaan kesihatan mental tertuduh, laporan perubatan mangsa dan CCTV.
Sebelum ini, tertuduh menukar pengakuan kepada tidak bersalah pada prosiding kali kedua pada 27 Mac. Pada 27 Februari lalu, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan sama.
Remaja itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 10 tahun bagi maksud seksual di sebuah masjid di Batang Kali, Hulu Selangor pukul 6.20 pagi pada 21 Februari lalu.
Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Sementara itu, Lingswaran ketika ditemui selepas prosiding berkata representasi yang akan dihantar adalah bagi menggugurkan pertuduhan tersebut.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang lelaki ditahan selepas disyaki mencabul kanak-kanak perempuan ketika solat subuh di sebuah masjid. Kejadian berlaku ketika mangsa sujud dan rakaman CCTV masjid berkenaan tersebar di media sosial.
Berdasarkan rakaman CCTV, suspek yang berkopiah putih menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk mangsa dari arah belakang dan membawa kanak-kanak itu keluar. – KOSMO! ONLINE.