KAPTEN Perak FC, Luciano Guaycochea akhirnya ‘buka mulut’ menzahirkan kekecewaan terhadap pengurusan pasukan dan bertegas setiap pemain berhak untuk mendapatkan tunggakan gaji penuh.
Menerusi ciapan di IG Story miliknya, pemain kelahiran Argentina itu bertegas yang pemain tidak wajar dilayan seperti sekarang kerana setiap individu dalam pasukan sudah mencurahkan segala-galanya buat The Bos Gaurus.
“Sebagai kapten Perak FC, saya ingin menyatakan rasa kekecewaan saya dengan pengurusan atas cara mereka melayan rakan sepasukan saya dan diri saya sendiri!”
“Kami berhak untuk menerima semua tunggakan gaji yang masih belum dibayar! Kami telah memberikan segala-galanya buat kelab ini,” katanya.
Sebelum ini, pengurusan pasukan sudah pun menamatkan teka-teki penyertaan Perak FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan apabila sah menarik diri ekoran masalah kewangan yang dihadapi.
Menerusi satu kenyataan, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi sebelum ini menjelaskan pihaknya sudah melakukan sehabis baik untuk menyelamatkan pasukan namun ‘kantung’ yang makin surut tidak mengizinkan The Bos Gaurus meneruskan cabaran.
“Berat hati untuk kami menyatakan perkara ini, namun masanya sudah tiba. Kami secara rasmi menarik diri daripada Liga Super musim depan dan menamatkan perjalanan Perak FC,” kata Azim.