PUTRAJAYA – Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman menarik nafas lega apabila kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali selepas membenarkan rayuan akhir Yasin selaku perayu untuk mengetepikan hukuman Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan.
Meskipun dilepas dan dibebaskan, Yasin atau nama sebenarnya, Muhammad Yasin Sulaiman, 50, ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor sebagaimana yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin.
Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan Yasin atas tiga pertuduhan tersebut.
Pada Ogos 2024, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan ke atas Yasin yang mana Hakim Datuk Norsharidah Awang menetapkan hukuman itu selepas Yasin didapati bersalah atas tiga pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama, Yasin didakwa dalam milikannya dadah kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Kota Damansara di sini pada pukul 5.30 petang, 24 Mac 2022.
Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 sebatan.
Pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok kanabis dalam pasu di tempat, waktu dan tarikh sama. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB.
Seksyen itu memperuntukkan penjara seumur hidup dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.
Pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Daerah Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun. – KOSMO! ONLINE