SEJAK di bangku sekolah rendah, Syed Mohamad Rafid Syed Ahmad Sharif bukan seorang murid biasa.
Anak muda kelahiran Taiping, Perak ini dikenali sebagai individu yang sentiasa aktif dan bersemangat tinggi dalam menyertai pelbagai aktiviti dianjurkan.
Jika bukan di gelanggang sepak takraw atau badminton, dia akan mewakili sekolahnya di pentas pertandingan pantun atau tilawah al-Quran.
“Bagi saya, setiap saat dan ruang adalah peluang untuk belajar sesuatu perkara baharu.
“Saya juga menyifatkan bahawa masa yang diberikan kepada kita semua sebagai nikmat yang tidak boleh disia-siakan,” katanya kepada K-Kampus.

Dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, jejaka berusia 23 tahun dan mesra disapa Rafid ini membesar melihat ayahnya, seorang tukang masak bekerja keras dengan penuh disiplin setiap hari.
“Saya lihat sendiri macam mana ayah menguruskan masa sejak dari awal pagi hingga malam dan semuanya teratur.
“Didikan dan norma itu telah memberikan saya kesedaran sekali gus menghadirkan keupayaan bagi saya untuk menguruskan masa dengan cekap,” katanya.
Menerusi penglibatan yang luas dan aktif dalam bidang akademik, kepimpinan serta kesukarelawanan di Universiti Malaya (UM), Rafid menjadikan pengurusan masa sebagai tunjang utama dalam hidup.
Jelas pemuda itu, jadual hariannya sentiasa disusun rapi agar setiap tanggungjawab yang digalas dapat dilaksanakan sebaik mungkin tanpa mengorbankan mana-mana aspek.
Bercerita lanjut, selain penglibatannya dalam organisasi pelajar, Rafid turut aktif dalam program kemasyarakatan sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial.
Baginya, penglibatan dalam aktiviti sukarelawan bukan sekadar mengisi masa lapang, tetapi menjadi platform penting membina empati, memahami realiti masyarakat dan melatih diri menjadi insan yang lebih peka terhadap keperluan sekeliling.
“Saya percaya semua mahasiswa patut melibatkan diri dalam aktiviti luar bilik kuliah terutama kesukarelawanan.
“Ia bukan kerana keperluan sijil, tetapi nilai yang diterima kepada diri sendiri,” katanya yang bercita-cita menjadi pemimpin belia pada masa hadapan.

Antara program yang memberi kesan mendalam kepada dirinya termasuklah Share Food with Homeless serta misi-misi bantuan bencana seperti banjir di Selangor dan kebakaran di Putra Heights baru-baru ini.
“Program Bantuan Bencana Bakar itu memang sangat dekat di hati.
“Walaupun dalam masa yang sangat singkat, saya cuba buat apa sahaja yang termampu seperti mengurus bantuan, edarkan sumbangan dan bantu sebar maklumat,” ujarnya.
Pun begitu, akui Rafid, tidak semua perjalanannya membuat kebaikan itu lancar dan indah sahaja.
Ceritanya, dia pernah diserang penyakit demam virus, sakit tekak, cirit-birit dan selesema yang berpanjangan selepas mengikuti satu program kepimpinan dan kesukarelawanan di Indonesia.
Impaknya, dia terlantar hampir dua minggu dan dalam keadaan yang lemah itu tetap perlu menyiapkan profil untuk permohonan Anugerah Perdana Belia Negara.
“Itu antara saat dan titik paling mencabar dalam hidup saya. Fizikal sangat lemah, tetapi saya tidak boleh berhenti,” tuturnya.
Sebagai mahasiswa dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Rafid mengekalkan rekod cemerlang dalam bidang akademik dengan dengan beberapa kali menerima anugerah dekan.
Dia pernah menjawat jawatan sebagai Presiden Sekretariat Rakan Muda UM, Naib Presiden Angkatan Kejuruteraan Islam dan menjadi pengarah pelbagai program seperti Bazaar Ramadan, Rakan Muda Hari Sukan Negara dan Night Dinner with Homeless.
Lebih membanggakan, dia turut menerima pengiktirafan antarabangsa melalui The Duke of Edinburgh Award (peringkat gangsa dan perak) termasuk beberapa anugerah kepimpinan di bawah program yang disertainya sebelum ini.
















