KUALA NERUS – Perjalanan seorang warga emas pulang ke rumah selepas menunaikan solat isyak berakhir dengan tragedi selepas terlibat kemalangan di Jalan Pengkalan Arang di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 9.35 malam itu, mangsa, Ali Mohamed, 77, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Tebauk selepas solat isyak di Surau Pengkalan Arang.
“Mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dikatakan menyeberang jalan sebelum dirempuh trak pikap jenis Ford Rangers yang gagal mengelak.
“Impak rempuhan itu, mangsa tercampak ke atas jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Azli berkata, pemandu Ford Rangers berusia 21 tahun yang juga pekerja kafe di Gong Badak di sini tidak cedera.
Mayat Ali dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE