LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya mengekalkan fokus menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Tottenham Hotspur di Anfield malam ini.
Perlawanan itu dianggap cukup penting buat The Reds memandangkan mereka bakal dinobatkan sebagai juara liga musim ini sekiranya dapat mengutip sekurang-kurangnya satu mata bertemu Spurs.
Bagaimanapun, Slot menegaskan, beliau tetap mengharapkan kemenangan pada perlawanan tersebut meskipun keputusan seri sudah memadai untuk mendakap trofi teragung saingan bola sepak England itu.
“Pertama sekali, kami memikul tanggungjawab cukup besar pada perlawanan itu kerana kali terakhir pasukan ini memenangi liga adalah ketika seluruh dunia sedang berdepan pandemik Covid-19.
“Tugas ini cukup penting, sekurang-kurangnya kami perlu mendapatkan satu mata. Saya tahu semua penyokong akan datang ke stadium, jadi saya tetap mengharapkan pemain-pemain untuk mengutip tiga mata,” katanya.
Sekiranya Liverpool memenangi kejuaraan liga esok, ia akan menjadi detik manis buat Slot memandangkan beliau akan menjadi jurulatih Belanda pertama yang menjulang trofi Liga Perdana.
Walaupun berada dalam keadaan cukup selesa dalam laluan untuk bergelar juara selepas memiliki perbezaan 12 mata dengan Arsenal, namun Slot tidak mahu pemain-pemainnya menampilkan aksi sambil lewa berdepan Spurs.
“Aksi di Anfield sentiasa menjanjikan sesuatu yang hebat, jadi satu mata tidak cukup untuk kami. Saya mahu semua pemain kekal fokus dan berikan segala-galanya demi penyokong setia,” ujarnya. – AGENSI