TAPAH – Perikatan Nasional (PN) akur dan menghormati keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang menyaksikan calon parti tersebut tewas, hari ini.
Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi berkata, PN Perak menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengundi yang telah melaksanakan tanggungjawab dalam proses pilihan raya.
“Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera parti yang telah berusaha sedaya upaya, kepada anggota pihak keselamatan yang bertugas dengan tekun serta petugas-petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang telah menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
PRK Ayer Kuning menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, memenangi pertembungan tiga penjuru antara calon PN, Abd. Muhaimin Malek, 44, dan Bawani KS, 40, dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Beliau berkata, walaupun peratusan keluar mengundi menurun sebanyak 20 peratus, sokongan pengundi terhadap PN tetap kekal.
Sebaliknya, beliau berkata, keputusan PRK itu membuktikan bahawa gabungan BN-PH (Pakatan Harapan) semakin kehilangan kepercayaan rakyat kerana undi gabungan mereka merosot.
“Sungguhpun kemenangan belum tercapai, PN tetap beriltizam untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat dengan lebih gigih.
“PN Perak yakin dengan semangat dan kepercayaan rakyat yang semakin kukuh, gelombang perubahan lebih besar akan tiba,” katanya. – KOSMO! ONLINE