fbpx

Kerja di R&R kumpul duit mahu ke UTP, Nur Qalidah sebak peroleh 9A

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR QALIDAH mengambil upah bekerja di sebuah gerai di R&R Pagoh demi melanjutkan pengajian ke universiti. Foto oleh AMRAN ALI/ KOSMO!

MELAKA – Tatkala calon lain berada di sisi keluarga ketika menyemak keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun situasi berbeza dilalui Nur Qalidah Farhana Mohd. Azman, 18.

Gadis itu menyemak keputusan peperiksaan tersebut secara dalam talian ketika bekerja di sebuah gerai di hentian rehat dan rawat (R&R) Pagoh, Johor.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah, Ayer Keroh itu, dia yang bertugas di kaunter minuman terkejut apabila memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam SPM 2024.

Nur Qalidah kemudian segera menghubungi ibunya, Endon Dol Alim, 53, yang bekerja sebagai tukang sapu sekolah untuk berkongsi berita gembira tersebut.

“Pukul 10 pagi, saya curi masa sekejap menyemak keputusan SPM. Terkejut bila nampak 9A.

“Saya hubungi abang dan emak. Emak menangis, dia pun seperti tidak percaya. Saya sendiri pun terasa macam mimpi,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Anak bongsu daripada lima beradik itu memberitahu, dia bekerja di gerai makanan tersebut sejak Ramadan lalu untuk mengumpul wang bagi melanjutkan pengajian di universiti.

“Kalau boleh nak sambung (pengajian) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi Petronas (UTP).

“Emak dan ayah (Mohd. Azman Selamat) yang bekerja sebagai tukang rumah tidak menjanjikan apa-apa sekiranya saya mendapat keputusan cemerlang, tetapi bagi saya doa dan sokongan mereka sudah memadai.

“Emak selalu pesan, belajar elok-elok (bersungguh-sunguh) jangan jadi seperti mereka. Kata-kata itu saya pegang sampai hari ini,” katanya sebak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI