Di Kelantan, ikan ini dipanggil ‘ike tuko’ dan pada bulan puasa pula ikan ini menjadi salah satu menu istimewa iaitu ikan ketuka cicah air asam. Selain itu ikan ketuka juga boleh dibuat kerabu, asam pedas dan kari.
Ikan ketuka merupakan spesies ikan terkecil di dalam keluarga ikan pari dan rupanya serupa sahaja seperti ikan pari yang lainnya. Disebabkan itu juga, ada sesetengah pemancing keliru, dapat ikan ketuka dikatakan anak ikan pari, dapat anak ikan pari dikatakan ikan ketuka begitulah selalunya.
Cara mudah mengenali ikan ini adalah dengan melihat ekor ikan tersebut. Ikan ketuka memiliki ekor yang pendek iaitu sekitar 30 sentimeter (sm) sahaja, tidak seperti ikan pari yang mempunyai ekor lebih 12 inci (30.4 sentimeter) panjang.
Namun begitu, anda harus berhati-hati ketika mengendalikannya, kerana kedua-dua spesies ini memiliki sengat yang amat berbisa yang berada di pangkal batang ekornya. Ikan ketuka ini pula mempunyai dua sengat.
Sebelum mencabut mata kail pada mulutnya, pastikan dibuang terlebih dahulu sengatnya dengan menggunakan playar. Ada juga pemancing terus memotong pangkal ekor ikan ketuka ini dengan pisau.
Sengat itu pula jangan dibuang merata-rata, ia boleh membahayakan orang lain yang terpijak akannya. Sediakan botol air mineral kosong yang bertutup dan masukkan sengat itu ke dalamnya, kemudian tutup ketat. Selepas itu buang di tong sampah.
Casting ketuka?
Kami sebenarnya sedang memancing ikan gelama pada waktu malam di satu tebing berbatu. Sedang asyik memancing gelama, tiba-tiba pancing Alif telah disambar ikan ketuka.
Melihat ikan ketuka sudah mula masuk ke kawasan pancingan kami, terus teknik pancingan bertukar.
Perambut diganti stail baharu dengan menggunakan batu hidup yang dimasukkan kepada perambut.
Hujung perambut tadi dimatikan dengan satu swivel, hujung swivel yang satu lagi diikat perambut sepanjang enam inci sahaja, dan satu mata kail diikat di hujungnya. Umpan pula ialah udang beras yang sama kami gunakan untuk ikan gelama tadi.
Saiz perambut dan batu terpulang kepada anda, saya hanya gunakan perambut 20 paun dengan batu hidup saiz empat hingga enam mengikut kekuatan arus dan mata kail saiz kecil. Ia sudah memadai untuk ikan ketuka yang sememangnya bersaiz kecil sahaja.

Tekniknya mudah sahaja, lontar umpan dan biarkan ia tenggelam hingga mencecah dasar. kemudian karau umpan perlahan-lahan supaya ia menyeret dasar.
Pastikan kawasan yang menjadi target tersebut dasarnya berpasir, bukan bereba batu, berkarang dan lain-lainnya kerana ia bakal tersangkut ketika umpan diseret. Ikan ketuka juga sebenarnya hanya berlegar di kawasan berpasir.
Kebiasaannya dengan teknik ini, jika ada ketuka di sekitar, semasa umpan dikarau perlahan akan terasa umpan digetu kasar. Biarkan ia betul-betul menelan umpan sepenuhnya dengan bersabar dalam dua hingga empat saat, karau hingga tali tegang, barulah joran disembat.
Ikan ketuka ini boleh tahan kuat melawan kerana badannya yang lebar itu bakal merentang air semasa anda ‘mengepamnya’ naik ke darat.
Bagaimanapun, ia tidaklah senakal ikan pari bersaiz kasar yang gemar menimbuskan dirinya ke dalam pasir sehingga menyukarkan anda menaikkannya.
Kami dapat beberapa ekor lagi ikan ketuka sebelum menamatkan sesi pancingan malam itu.
Cuba di siang hari
Selang beberapa hari kemudian, saya dan Jefri pula mencubanya di siang hari. Kebetulan air sedang naik pasang pada ketika itu menyebabkan ombak kuat menghempas hamparan batu mengakibatkan laut menjadi sedikit bergelora.
Sebelum mencari ikan ketuka, kami bermula dengan memancing ikan gelama terlebih dahulu. Dua jam lebih, hasilnya hanya 10 ekor ikan gelama sahaja dinaikkan.
Memandangkan gelama kurang aktif makan umpan, kami bertukar pula dengan teknik menyeret umpan untuk ikan ketuka.
Cuma teknik ini agak sukar sedikit untuk dipersembahkan ketika ombak besar dan berarus laju.
Walaupun keadaan air kurang berpihak kepada kami, namun kami tetap berjaya juga dapat beberapa ekor ikan ketuka dibawa balik untuk dibakar cicah air asam.















