JAKARTA – Seorang warga emas yang uzur hilang secara tiba-tiba sebelum ditemukan dalam keadaan tangan dan kaki terikat di kolam milik penduduk setempat, lapor laman berita Radar Pena semalam.
Kejadian berlaku pada 19 April lalu di Indramayu, wilayah Jawa Barat.
Menurut anak mangsa yang dikenali sebagai JBD, bapanya, JN, 65, hanya berbaring di rumah disebabkan sakit dan sukar untuk berjalan.
Ketika JBD meninggalkan bapanya seketika dalam masa hanya beberapa minit, lelaki itu hilang tiba-tiba.
“Semasa saya kembali ke tempat bapa berbaring, dia sudah tiada. Padahal dia susah untuk berdiri,” katanya.
JBD dengan segera meminta bantuan penduduk kampung yang kemudian memulakan usaha mencari warga emas itu.
Dia akhirnya ditemukan berhampiran kolam milik seorang penduduk dengan keadaan tangan dan kaki terikat.
JBD berkata, dia percaya bahawa kehilangan bapanya ada kaitan dengan makhluk halus yang dikenali sebagai wewe gombel.
Wewe gombel dikenali dalam kalangan masyarakat Jawa sebagai makhluk halus yang gemar menculik manusia. – AGENSI